SEIRING peredaran masa, penyedia material ibadah seperti kelengkapan ibadah haji dan umrah kini memberikan manfaat kepada jemaah kerana menyediakannya di bawah satu bumbung.

Butik kelengkapan ibadah haji dan umrah menjadi pusat sehenti kepada mereka dengan menawarkan barangan yang berkualiti pada harga yang berpatutan.

Tidak perlu bersusah payah ke sana ke mari membeli kelengkapan ibadah di tempat lain kerana selalunya butik akan menyediakan segala-galanya seperti jubah, telekung, kopiah, tasbih digital, beg, wangian selari dengan keperluan jemaah.

Ia tentu sahaja kemudahan yang bermanfaat kepada jemaah haji dan umrah khususnya yang lebih berusia apabila tidak perlu lagi berkunjung daripada satu kedai ke satu kedai bagi mencari barangan berlainan yang diperlukan.

Menjelang musim haji, ibarat lubuk rezeki kepada pemilik perniagaan kelengkapan haji dan umrah kerana mendapat permintaan yang tinggi sama ada melalui perniagaan berbentuk fizikal atau secara atas talian.

Kebanyakan penyedia kelengkapan haji melihat potensi perniagaan ini kerana permintaan semakin bertambah berikutan penambahan rakyat Malaysia melaksanakan ibadah haji dan umrah dari semasa ke semasa.

Jualan online meningkat

Penyedia kelengkapan ibadah atas talian, Thayyibah Apparel optimis pasaran kelengkapan haji dan umrah mempunyai potensi yang cerah berikutan permintaan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Pengasasnya, Sharifah Azlina Ibrahim berkata, ia dibuktikan dengan kelengkapan haji yang disediakan Thayyibah Apparel antaranya telekung, mini telekung, kain ihram, tasbih digital, jubah wanita yang bercekak di lengan dan sejadah muka meningkat dari bulan ke bulan.

Menurutnya, jualan secara atas talian (online) tersebut didorong kesesuaian kelengkapan haji yang disediakan mengikut keperluan pasaran sekali gus menyumbang kepada prestasi jualannya.

"Setakat ini, jualan telekung menggunakan material Japanese Cotton, German Cotton, 100 peratus cotton sulam berkaki dan TC Cotton serta Koshibo Cotton yang dijahit sendiri menjadi pilihan iaitu menyumbang 70 peratus jualan kepada Thayyibah Apparel.

"Antara telekung yang menjadi pilihan adalah telekung dewasa yang dikenali Sayyida Fatimah manakala Sayyida Aisyah untuk kanak-kanak. Rekaan telekung yang menarik dan melekap serta mempunyai pelbagai saiz muka bermula S sehingga XL memacu peningkatan jualan telekung," katanya.  

Sharifah Azlina berkata, sejak terlibat dalam perniagaan kelengkapan haji dan umrah, Thayyibah Apparel berjaya menjual 22,000 telekung dan menyasarkan peningkatan 50 peratus menjelang akhir tahun ini.

"Kebanyakan jemaah yang datang membeli adalah mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas dan membeli secara atas talian. Namun, ada juga membeli secara fizikal terutamanya di karnival yang disertai di seluruh negara. Harga telekung yang dijual antara RM100 sehingga RM300 manakala kain ihram pula dijual antara RM60 sehingga RM100," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ANDALUSIA Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia), syarikat pengendali umrah bersama Rayhar Travels Sdn Bhd (Rayhar), memeterai perjanjian penyewaan pesawat A380 dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB) bagi tujuan membawa jemaah umrah untuk pelepasan pada Oktober 2017 sehingga Jun 2018.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.