• Pos Malaysia Pos Malaysia
1 /

KUALA LUMPUR - Pos Malaysia akan melaksanakan waktu operasi baharu untuk perkhidmatan mel dan kaunter mulai 1 Januari depan bagi Semenanjung Malaysia dan 1 Februari bagi Sabah dan Sarawak.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pos Malaysia Shukrie Salleh berkata, perubahan berkenaan melibatkan pertambahan waktu operasi selama 30 minit pada hari bekerja di kaunter cawangan pos seluruh negara bagi memberi lebih masa kepada pelanggan membuat transaksi serta menghantar mel dan kurier.
   
Pada hari Sabtu pula waktu operasi dikurangkan kepada setengah hari berbanding waktu pejabat sebelum ini dan tiada sebarang operasi mel dilakukan pada hari tersebut, katanya dalam sidang media mengenai pelaksanaan operasi waktu tersebut di sini hari ini.
   
Berikutan perubahan itu, semua cawangan Pos Malaysia di Semenanjung Malaysia akan beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada hari Isnin hingga Jumaat dan pada hari Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 1 tengah hari (Ahad hingga Khamis bagi negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu).
   
Bagi Sabah dan Sarawak, cawangan pos akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang pada hari Isnin hingga Jumaat dan pada hari Sabtu dari jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari.
   
"Bagaimanapun terdapat cawangan terpilih yang akan ditutup pada hari Sabtu melibatkan cawangan kecil di kawasan pedalaman.
   
"Manakala cawangan pos yang terdapat di pusat membeli-belah akan beroperasi seperti biasa pada hari Sabtu dan Ahad," katanya.
   
Pusat PosLaju juga akan dibuka seperti biasa pada hari Sabtu untuk penerimaan item kurier bagi tujuan penghantaran.
   
Shukrie berkata pelaksanaan waktu operasi baharu ini merupakan sebahagian inisiatif Pos Malaysia untuk menyelaraskan operasinya berikutan perubahan tabiat penggunaan perkhidmatan mel serta memastikan ia dapat memenuhi kepuasan pelanggan.
   
Ia juga bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan di samping menggalakkan keseimbangan hidup kakitangan supaya mereka mempunyai lebih masa bersama keluarga dan sahabat handai.
   
Pos Malaysia kini mempunyai kira-kira 16,500 kakitangan dan separuh daripadanya bekerja di bahagian pengurusan mel. - Bernama