SELEPAS lima tahun, Pos Malaysia Berhad akan menerbitkan edisi ketujuh setem Siri Definitif Kebangsaan yang menampilkan spesies orkid bermula 21 Februari ini.

Ketua Unit Setem dan Filateli Diyana Lean Abdullah berkata edisi kali ini akan memaparkan tujuh spesies orkid iaitu 'Rynchostlis' (60 sen), 'Phalaenopsis' (70 sen), 'Vanda' (80 sen), 'Paphiopedilum' (90 sen), 'Aranda' (RM1) and 'Papilionanda' (RM1.10).

Hanya 150,000 keping akan dikeluarkan, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Phalaenopsis atau orkid rama-rama, iaitu bunga negeri bagi Sarawak, akan ditampilkan berserta tanda pembatalan manakala enam lagi turut dijual secara lembaran mini tanpa tebuk berharga RM7.40 sekeping.

Diyana berkata untuk Sampul Hari Pertama yang disertakan dengan brosur percuma dijual pada harga 55 sen sementara set folder lengkap berharga RM135.80.

"Kami juga meningkatkan ciri-ciri keselamatan menerusi pendarrona, teks mikro dan dakwat halimunan/infra merah bagi mengelakkan pemalsuan," katanya.

Bagi yang tidak mempunyai masa untuk membeli koleksi ini di pejabat pos, Diyana menyarankan mereka mendaftar dan membuat pesanan menerusi Akaun Pesanan Tetap (SODA). - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.