POKKA Malaysia adalah anak syarikat Pokka Corporation (Singapura) Private Limited (Pokka) yang merupakan peneraju industri makanan dan minuman di Singapura dan Asia Pasifik.

Sejarah Pokka bermula 1977 yang beribu pejabat di Jepun, Pokka Corporation Japan. Berpengalaman lebih 35 tahun dalam industri minuman dan lebih 20 tahun dalam pengurusan restoran serta makanan, Pokka mantap dalam makanan dan minuman di Singapura dan rantau Asia Pasifik.

Pokka fokus mengukuhkan pasarannya di peringkat domestik dan akan melaksanakan strategi berkesan untuk menawarkan rangkaian produk terbaik pada masa depan.

Ketua Pengurus Jualannya, Patrick Chan berkata, Pokka memilih Malaysia untuk membina kilangnya kerana melihat potensi negara ini yang berkembang pesat dan menjadi tumpuan pelabur asing.

Menurutnya, Pokka mengambil keputusan membuka kilang pertama di Shah Alam, Selangor pada 1995 yang mengeluarkan produk Pokka dalam tin dan kotak.

“Pemilihan Malaysia adalah tepat kerana lokasinya yang strategik dan berhampiran Singapura. Setelah menapak lebih 20 tahun, Pokka melabur jutaan ringgit untuk bina kilang kedua di Senai, Johor.

“Kilang tersebut memfokuskan  pengeluaran produk Pokka dalam botol. Pengeluaran Pokka di Malaysia, mampu menampung permintaan domestik dan antarabangsa iaitu Pokka dieksport ke lebih 50 negara,” katanya.

Patrick berkata, Pokka Corporation fokus kepada penambahbaikan produk dan perkhidmatan dan sentiasa melihat untuk inovatif dan proses untuk memuaskan keperluan dan kehendak pasaran.

“Pokka terkenal dengan bersedia untuk minum (ready to drink) dalam pasaran minuman, jenama yang sinonim dengan minuman teh dan buah-buahan yang sihat.

“Di Singapura, Pokka terkenal dengan Pokka Green Tea dan Carrot Fruit Juice yang menjadi pilihan utama di sana. Kumpulan juga berjaya meluaskan pasaran minuman tersebut ke 50 negara menembusi Asia, Timur Tengah dan Eropah,” katanya.

Tanpa pengawet dan pewarna

Patrick berkata, Pokka mempunyai lebih 40 perisa minuman di pasaran. Ia dihasilkan daripada bahan semula jadi dan tidak mempunyai pewarna dan pengawet, malah 100 peratus dipanggang daripada daun teh, biji kopi.

“Ia meliputi minuman berasaskan teh, kopi, jus, karbonat dan minuman pelbagai fungsi sesuai diminum pelbagai peringkat umur. Antara jenama produk yang popular adalah Pokka Jasmine Green Tea, Pokka Melon Milk, Pokka Olong Tea, Pokka Milk Coffee dan sebagainya," katanya.

Patrick berkata, produk Pokka mendapat permintaan tinggi kerana ketulenan bahan-bahannya, 100 peratus daripada teh dan biji kopi.

Jelasnya, Pokka mempunyai kekuatan dalam pembangunan dan penyelidikannya sendiri iaitu makmal sendiri yang terletak di Singapura.

“Kami meneruskan kajian formula terbaharu dan menambahkan fungsi dalam pelbagai minuman kami yang mana nutrisi dan rasanya seimbang contohnya Honey Lemon.

“Banyak produk minuman di pasaran yang diproses, namun Pokka adalah satu-satunya pengilang yang mengeluarkan produk menggunakan teh hijau dan biji kopi yang asli, jus dan susu untuk menghasilkan RTD teh dan kopi.

“Produk kami berkualiti dan harganya lebih tinggi berbanding pesaing lain. Ini adalah cabaran kepada kami apabila permintaan semakin perlahan,” katanya.

Patrik berkata, Malaysia adalah pasaran strategik dalam membangunkan jenama Pokka dan konsisten untuk melihat kerjasama di Asia Pasifik.

Terima permintaan tinggi

Pokka Malaysia tidak menolak mereka juga menghadapi masalah besar dalam melaksanakan sistem cukai dan perkhidmatan yang dilaksanakan pada 2015.

"Ia menyebabkan gangguan dalam aliran perniagaan kami. Penambahan kos dalam pembelian bahan mentah yang kebanyakannya diimport dan caj logistik bertambah menyebabkan kami menaikkan harga produk kami," katanya.

Patrick berkata, Pokka tidak menolak kelemahan ringgit yang berterusan akan menurunkan permintaan. Peningkatan kos produk penting seperti petrol juga memberikan kesan kepada kehidupan dan sara hidup rakyat Malaysia.

"Sekiranya ia tidak ada penambahbaikan pada masa akan datang, kita akan melihat pertumbuhannya akan perlahan," katanya.

Beliau berkata, perancangan jangka panjang Pokka adalah terus bertahan sebagai pilihan nombor satu dalam kategori Green Tea.

"Pelbagai variasi produk baharu dikeluarkan di Malaysia dan dijual dengan harga mampu milik yang akan dilancarkan pada Jun nanti," katanya.

Patrick berkata, Pokka akan melancarkan varian baharu iaitu Banana Milk untuk siri susu pada suku pertama 2017. Siri Pokka susu mempunyai empat varian iaitu Banana, Melon, Cookies dan Cream, Mango yang menawarkan susu dan jus asli kepada pelanggan.

"Pada suku kedua tahun ini, Pokka mempunyai lanjutan varian kopi untuk 240 mililiter dan 500 mililiter Premium Mocca Coffee. Kesemua siri Premium akan berwajah baru pada suku ketiga tahun ini.

Patrick berkata, pada 2017, Pokka menyasarkan pertumbuhan pendapatannya dua digit dipacu dengan adanya produk baharu.

Pokka juga akan menganjurkan pelbagai kempen bulanan, mendidik pelanggan mengenai Pokka sepanjang tahun ini.

Tambah Patrick, Pokka boleh didapati di semua pasar raya seluruh negara dan mendapat permintaan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • EMPAT peserta memenangi telefon pintar keluaran terbaru bernilai RM1,200 melalui pertandingan Share and Win Pokka Malaysia pada bulan pertama yang diadakan baru-baru ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.