SONY telah memperkenalkan berkas konsol PlayStation 4 Edisi Gran Turismo Sport bersempena dengan Gamescom 2017, dan pada masa yang sama mengumumkan konsol edisi terhad berkenaan turut akan ditawarkan untuk pasaran tempatan.

Melalui konsol edisi terhad ini, ia menawarkan konsol bersaiz 1TB, dilengkapi dengan rekaan logo Gran Turismo pada bahagian tengah, dan penggunaan warna kelabu untuk konsol. Ia turut hadir dengan rekaan alat kawalan DualShock 4 yang menyertakan logo Gran Turismo.

Pembeli berkas edisi terhad ini turut akan menerima permainan Gran Turismo Sport, kandungan tambahan dengan akses kepada tiga kereta tambahan, dan juga pakej langganan 12 bulan untuk PlayStation Plus.

Di Malaysia, berkas edisi terhad PlayStation 4 Gran Turismo Sport Special Edition ini akan ditawarkan pada harga RM1799 bermula Oktober ini.