$entry.content.caption.value
Kolaborasi antara Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dengan Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (Kopsya) dijangka menjadi pemangkin perkembangan sistem kewangan Islam rantau ini.
Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat berkata, mereka akan menyediakan penyelesaian perbankan lengkap kepada Kopsya di bawah perjanjian usaha sama.
Menurutnya, ia adalah usaha meluas dan melebarkan perniagaan serta pangkalan pelanggan dalam mempelbagaikan sumber penjanaan pendapatan khususnya berbentuk yuran.
“Kami akan menggunakan segala kepakaran dan pengalaman dalam sistem perbankan berlandaskan Syariah dan memberi khidmat nasihat kepada Kopsya berkenaan kewangan Syariah terkini.
“Bank Islam bersetuju bekerjasama dan berbincang dengan Kopsya dalam mengenal pasti struktur perkhidmatan perbankan paling sesuai kepada ahlinya, untuk menjalankan urus niaga dengan lebih efektif,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman di ibu pejabat Bank Islam di Kuala Lumpur.
Zukri berkata, sebagai contoh, dalam memudahkan operasi pengurusan mereka, Bank Islam menyediakan kemudahan perkhidmatan pendeposit ke akaun Kopsya melalui kaunter di semua cawangan Bank Islam seluruh negara, mesin deposit tunai, arahan tetap, perbankan Internet (bankislam.biz) dan Perbankan Mudah Alih TAP.
Katanya, skop persefahaman ini termasuk kemungkinan membantu Kopsya mengeluarkan kad bank dengan jenama bersama.
“Potensi penggabungan koperasi dilihat amat besar, lebih-lebih lagi angka bilangannya sehingga kini lebih daripada 9,000. Pastinya, Kopsya bakal menjadi badan koperasi induk menyediakan platform urus niaga perbankan Islam kepada yang lain.
“Kesimpulannya, melalui perkongsian strategik ini, kekuatan kedua-dua organisasi dimanfaatkan dan secara tidak langsung mewujudkan situasi menang-menang,” katanya.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kopsya, Datuk Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwan Wafa; Pengerusi Bank Islam, Datuk Zamani Abdul Ghani dan Pengerusi Kopsya, Datuk Dr Mohd Ali Baharum.





