SETIAP tahun, seramai 75 graduan tempatan telah berjaya dibantu menyerlahkan skil diri menerusi Program Pembangunan Profesional (PDP) anjuran Iltizam milik Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas).

Program dilancarkan pada tahun 2012 ini semakin menjadi perbualan anak muda terutamanya graduan yang kurang bernasib baik dan sudah lama berusaha mencari pekerjaan setelah tamat pengajian.

Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata, matlamat PDP Iltizam ini sememangnya adalah untuk membantu melengkapkan graduan tempatan supaya dapat berdaya saing dengan graduan-graduan lulusan luar negara atau mereka yang telah bernasib baik mendapat pendedahan diperlukan.

Beliau yang juga antara mentor dalam program PDP merangkap penyelia tegar program ini memberitahu, ramai graduan tempatan terutamanya berasal dari luar bandar, kurang mendapat pendedahan pekerjaan ataupun ilmu penyediaan diri untuk masuk ke alam pekerjaan berjaya dibantu.

Justeru katanya, menerusi program ini selain mengasah bakat dan menyerlahkan skil diri, PDP turut membantu peserta program mendapat pekerjaan setelah selesai dilatih.

"Bagi mereka yang kurang berjaya mendapat pekerjaan, pihak Iltizam akan tetap memantau dan memberi bimbingan sehingga mereka ini berjaya. Selama setahun, setiap peserta program atau pelatih akan ditempatkan di beberapa syarikat yang menjadi rakan program.

"Mereka diberi gaji bulanan sebanyak RM2,500, kemudahan perubatan, caruman KWSP, insuran dan cuti tahunan sama seperti mana-mana pekerja biasa. Setiap bulan juga

peserta akan dikumpulkan untuk menjalani latihan intensif seperti cara membuat presentasi berbahasa Inggeris, ketrampilan diri yang baik, pengetahuan dan kecekapan berniaga, skil komputer, drama, keusahawanan, team-building dan juga pembangunan kepimpinan diri.

"Aktiviti sosial seperti bersukan dan Quran Chillout untuk pelatih Muslim turut diadakan. Mereka juga didedahkan dengan berbagai aktiviti tanggungjawab sosial seperti menjayakan projek tanaman cili di rumah-rumah kebajikan," katanya sambil memberitahu dengan segala inisiatif dilakukan ini pelatih perlu bersungguh-sungguh mengamati dan mempraktikkan semua yang disediakan kerana untuk berjaya ia bergantung kepada diri pelatih itu sendiri.

Hizwani memberitahu, selalunya syarikat yang turut serta dalam program ini akan menerima graduan sebagai pekerja sepenuh masa setelah pelatih tamat PDP setahun.

"Sehingga kini, Iltizam telah mencapai kadar kejayaan sebanyak 85 peratus dalam usaha menempatkan pelatih ke alam kerja sepenuhnya,” katanya.

Tambahnya, antara syarikat yang menyokong program tersebut termasuk Fashion Valet, Habib Jewels, Kawasaki, jenama Canggih, Yayasan Peneraju, Graduan, KAF Investment Bank, ICON Offshore, ACG International dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad.

“Pihak Iltizam akan berusaha bersama pelatih untuk mendapatkan pekerjaan setelah selesai menjalani PDP setahun. Namun, peserta juga digalakkan menceburi dunia keusahawanan untuk penambahbaikan diri,” jelasnya.

Permohonan dalam talian untuk program PDP kemasukan tahun 2019 telah dibuka sejak awal Ogos lalu dan akan ditutup pada 15 September ini.

Mereka yang berminat boleh membuat permohonan di https://iltizam.ekuinas.com.my/pdp/.