PERSATUAN Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA)  melantik selebriti popular tanah air, Adibah Noor sebagai duta untuk kempen ‘Main Peranan Anda’ yang bertujuan mendidik pengguna mengenai liberalisasi insurans motor di negara ini.

Menurut Pengerusi PIAM, Anthony Lee, pemilihan Adibah sebagai duta dibuat, memandangkan beliau dapat menjangkau semua lapisan rakyat melampaui umur, jantina, bangsa dan status sosial.

“Beliau mempunyai keupayaan untuk menyampaikan mesej dan slogan dengan mudah kepada spektrum penonton yang luas.

“Kami yakin bahawa dia adalah orang yang ideal untuk bercakap mengenai topik penting iaitu keselamatan jalan raya dan mempromosikan tabiat memandu yang baik di Malaysia.

“Dia akan menambah sentuhan peribadi yang unik untuk kempen ini.

“Matlamat utama kami adalah untuk memastikan jalan raya di Malaysia lebih selamat dengan kadar kemalangan dan kematian yang berlaku di  jalan raya lebih rendah,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan perlantikan Adibah sebagai duta di sini, pada Isnin.

Pilih dengan bijak  

Kempen ini akan menampilkan iklan televisyen, iklan cetak, iklan dalam talian, penglibatan media sosial, perhubungan awam dan aktiviti di lapangan.

Pelancaran kempen itu juga tepat pada masanya memandangkan musim balik kampung sempena sambutan Hari Raya Aidlifitri dan kempen ini akan dijalankan sepanjang tahun 2018.

Ujar Anthony Lee, kempen itu memfokuskan kepada tiga teras utama, iaitu mempromosikan pemanduan selamat, menjadi pemandu yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan kenderaan dengan betul dan berkala serta menjadi pengguna yang bijak memilih produk insuran motor yang diingini.

“Liberalisasi berperingkat tarif insurans motor telah berjalan dengan lancar dan kempen pendidikan pengguna nasional telah meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat umum.

“Pemandu boleh dianugerahkan dengan kadar premium insurans yang lebih rendah dengan menjadi pemandu yang selamat dan pemilik kereta yang bertanggungjawab.

“Namun, kadar kemalangan di Malaysia masih tinggi. PIAM memperhebat kerjasama dengan semua pemegang kepentingan utama untuk mengurangkan kemalangan jalan raya di seluruh negara dan telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan kemalangan jalan raya kebangsaan sebanyak 20 peratus untuk 2018 dan 50 peratus dari tahun 2020 dan seterusnya,” katanya lagi.

Tambah beliau, objektif kempen ini juga untuk mewujudkan kesedaran mengenai pelbagai produk baru yang ada dan menggalakkan pengguna untuk lebih proaktif dan memilih dengan bijak apabila membeli insurans motor.

“Pengguna akan dimaklumkan dengan lebih baik untuk membuat pilihan terbaik dari pelbagai sumber dan persembahan. Laman web PIAM dan MTA menyediakan Pilihan Produk Motor yang menyediakan pengguna maklumat mengenai perlindungan insurans yang ada. pengguna boleh memilih perlindungan berdasarkan keperluan khusus dan menerima sebut harga daripada syarikat insurans pilihan mereka,” katanya,

Sehingga 2 Mei 2018, 33 produk insurans motor baru telah dilancarkan.

Harap pengguna lebih terbuka

Sementara itu, Adibah ketika ditemui menzahirkan rasa sukacitanya atas perlantikannya itu dan berharap pengguna akan lebih terbuka dalam soal pemilikan insurans.

“Saya sangat gembira memainkan peranan saya dalam inisiatif ini. Insurans motor pada dasarnya merupakan perlindungan yang dibeli tanpa fikir panjang.

“Sudah tiba masanya untuk membuat perbezaan dan memainkan peranan kita sebagai pemilik kereta yang bertanggungjawab dan pemandu yang selamat.

“Adalah sangat menarik perhatian bahawa kita akan dapat mencapai segmen yang sepatutnya mendapat perhatian,” ujar Adibah.