Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) akan membangunkan vaksin halal dengan kos sehingga RM100 juta bagi tempoh lima tahun.

Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Farshila Emran berkata, dana bagi membangunkan vaksin itu adalah hasil pelan perniagaan yang dijalankan Pharmaniaga.

“Pengenalan vaksin halal ini akan ditawar pada harga lebih berpatutan terutama untuk rakyat Malaysia kerana dihasil syarikat tempatan.

“Tempoh vaksin halal tersebut akan mula diedarkan pula bergantung pada jenis vaksin yang mahu dihasilkan yang mengambil masa sehingga empat tahun tempoh penyelidikan dan pembangunan sebelum boleh di edarkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Memorandum Kerjasama pembangunan vaksin antara Pharmaniaga dengan Technology Depositary Agency dan Hilleman Laboratories (Hilleman Labs) yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Farshila berkata, di bawah memorandum kerjasama itu, ketiga-tiga pihak akan bekerjasama untuk menyelaraskan usaha membangunkan dan menghasilkan vaksin yang boleh digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP).

“Pharmaniaga berbangga apabila berperanan menjadi sebahagian penyelidikan bersama dengan syarikat global yang mempunyai reputasi kukuh seperti Hilleman Labs seterusnya meletakkan kami di mata dunia,” katanya.

Menerusi pemeteraian itu, Pharmaniaga akan membangunkan kemudahan penghasilan vaksin halal di Malaysia serta bertanggungjawab untuk kendalikan ujian klinikal, urus hal ehwal undang-undang serta kendalikan aktiviti komersial produk tersebut.