UNIT Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petronas Lubricants International (PLI), sedang mencari Jurutera Bendalir Litar bagi memberikan sokongan teknikal di litar, terhadap prestasi penyelesaian teknologi bendalir untuk Juara Dunia empat kali FIA Formula One, Mercedes-AMG Petronas Motorsport. Pencarian dibuka sehingga 7 Oktober tahun ini.

Dalam satu kenyataan, syarikat minyak dan gas kebangsaan itu berkata, PLI memberi peluang kepada individu yang berkelayakan, berminat, bermotivasi dan responsif di seluruh dunia untuk menjadi antara pakar teknikal untuk pasukan sokongan di litar, Mercedes-AMG Petronas Motorsport

“Sukacita kami mengumumkan pencarian global pertama untuk jurutera bendalir di litar, PETRONAS, untuk menyertai kami dan akan diberi tunjuk ajar oleh jurutera yang ada untuk memimpin kegiatan perkhidmatan kami di litar, untuk Formula Satu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PLI Group, Giuseppe D’Arrigo.