JIKA China dan Jepun yang mempunyai jumlah penduduk lebih ramai daripada Malaysia boleh menghasilkan keluaran makanan mencukupi, kenapa tidak Malaysia?

Tidak mustahil petani, peladang dan nelayan tempatan di negara ini mampu mengamalkan kaedah digunakan dua negara itu  bagi meningkatkan hasil keluaran makanan, sekali gus mengurangkan kadar import makanan ke Malaysia.

Perkara itu disuarakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada petani di Langkawi.

Tun M menyampaikan benih kelapa pandan kepada penduduk.

Beliau mahu golongan petani, peladang dan nelayan  fokus kepada  potensi untuk untuk mengeluarkan hasil lebih tinggi bagi meningkatkan pendapatan mereka,  bukan hanya bergantung kepada insentif kerajaan semata-mata.

Semasa Program Ramah Mesra bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Pertubuhan Peladang (PPK), Tun M berkesempatan menyampaikan sumbangan benih pokok kelapa pandan kepada petani di sana.

4,000 benih pokok kelapa pandan itu adalah peruntukan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) kepada 1,000 petani di seluruh Langkawi.

Penerima benih kelapa pandan gembira menerima bantuan kerajaan.

Walaupun dilihat kecil, namun sumbangan itu besar ertinya. Bak kata Tun M, balik, tanam dan tunggu hasilnya!

Kata-kata itu sebagai satu rangsangan dan menjadi pencetus kepada satu sumber rezeki baharu dalam bidang pengeluaran kelapa pandan kepada penduduk setempat.

Usaha itu juga secara tidak langsung dapat mengindahkan persekitaran Langkawi sebagai pulau pelancongan.