PERSATUAN Perubatan Ayush Malaysia yakin pasaran perubatan tradisional boleh diperluaskan ke peringkat lebih tinggi lagi melihat kepada potensi yang ada.

Presidennya, Dr Munusamy Rajamanikam berkata, bagaimanapun ada beberapa perkara perlu di perkemaskan lagi dalam usaha memastikan pasaran perubatan tradisional yang dibawa pengamal perubatan tidak jauh ketinggalan.

“Ketika ini, apa yang dilihat terlalu banyak protokol dalam usaha membawa pengamal perubatan, inilah yang dihadapi oleh mereka iaitu usahawan tempatan.

“Begitu juga dengan masyarakat yang kini lebih tertumpu kepada pasaran perubatan moden berbanding perubatan tradisional. Persatuan Perubatan Ayush Malaysia secara peribadi berhadapan dengan masalah ini.

“Jadi, untuk menjalankan program pembangunan profesional yang berterusan, sewajarnya doktor perubatan moden perlu memahami peranan pelengkap amalan.

“Ini akan membantu bersama rujukan dan koordinasi untuk keperluan pesakit dalam perkhidmatan perubatan pelengkap rawatan. Ini adalah sebahagian daripada wawasan untuk mengintegrasikan amalan ubat pelengkap rawatan ke dalam sistem penjagaan kesihatan negara dan seterusnya akan mampu membantu dalam pasaran perubatan tradisional itu sendiri,” katanya pada Konvensyen Pengamal Ayurveda Siddha Yoga yang pertama di Manipal Univeristi Nilai di sini.

Konvensyen berkenaan telah dirasmikan Pengarah, Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan, Dr Goh Cheng Soon.

Beliau berkata, pihak berkaitan juga mesti mengiktiraf lebih banyak badan pengamal pelengkap rawatan untuk mendidik, membimbing dan membantu para pengamal untuk semua perkara yang berkaitan.

“Dari sudut kerajaan pula, pihak kementerian perlu melibatkan pengamal perubatan tradisional berkelayakan swasta untuk menyediakan perkhidmatan pelengkap rawatan di hospital kerajaan dan mesti menggalakkan hospital swasta untuk menetapkan unit khas sepertimana di Singapura.

“Apabila penambahbaikan ini dilakukan, pastinya pasaran perubatan tradisional ini akan terus relevan dan tidak hapus ditelan zaman,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Dr Munusamy memberitahu, Persatuan Perubatan Ayush Malaysia telah membuka sebuah akademi di Lumut dengan tujuan bagi menawarkan kursus berkaitan perubatan tradisional kepada pelajar.

“Untuk permulaan pengambilan pelajar ini, kita telah pun mengambil seramai 25 orang dan kita letakkan sasaran dalam setiap tahun seramai 50 hingga 100 orang pelajar akan mengikuti kursus yang ditawarkan,” katanya.