• Datuk Abdul Rahman Sulaiman menandatangani plak pelancaran persatuan pengedar aliran media utama dan penerbitan Kuala Lumpur dan Selangor di Ampang (PROTEM).- Foto Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman menandatangani plak pelancaran persatuan pengedar aliran media utama dan penerbitan Kuala Lumpur dan Selangor di Ampang (PROTEM).- Foto Bernama
1 /

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengedar Aliran Media Utama dan Penerbitan, yang mewakili pengedar surat khabar di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, ditubuhkan bagi memastikan kebajikan golongan itu terjaga.
   
Persatuan itu, yang sehingga kini mempunyai lebih 150 anggota, dilancarkan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Abdul Rahman Sulaiman di Ampang hari ini.
   
Turut hadir bekas pengurus besar Bernama Datuk Seri Azman Ujang.
   
Abdul Rahman, dalam ucapannya, berkata pengedar surat khabar memainkan peranan penting dalam membantu syarikat penerbitan surat khabar menyalurkan sumber maklumat kepada masyarakat.
   
"Walaupun sekarang media baru semakin banyak, tetapi masyarakat masih bergantung kepada maklumat daripada surat khabar," katanya.
 
Justeru, beliau berkata kebajikan pengedar surat khabar perlu dijaga supaya mereka dapat menjalankan tugas seawal 2 pagi setiap hari dengan selamat dan selesa.
   
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Persatuan Pengedar Aliran Media Utama dan Penerbitan C.Ramasamy mempelawa lebih ramai pengedar surat khabar menganggotai persatuan itu.
   
Beliau berkata syarat keanggotaan ialah pengedar perlu mempunyai akaun dengan mana-mana syarikat penerbitan yang diiktiraf Kementerian Dalam Negeri atau sekurang-kurangnya berdaftar dengan Syarikat Suruhanjaya Malaysia.
   
Sementara itu, Ramasamy berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat membantu mencari lokasi pengedaran surat khabar yang sesuai, jika projek mengindah dan menaik taraf Medan Pasar dilaksanakan.
   
"Kita sudah beroperasi di tempat itu sejak lebih 100 tahun lepas. Oleh itu, kita berharap DBKL boleh bantu cari lokasi lain yang berdekatan dengan Medan Pasar untuk memudahkan proses pengangkutan," katanya.
   
DBKL akan memulakan projek pengindahan laluan 'Jejak Warisan' di tiga lokasi termasuk Medan Pasar pada hujung tahun ini. - Bernama