KUALA LUMPUR - Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) menafikan dakwaan yang menyatakan institusi perbankan Islam di dalam negara ini mengaut keuntungan berlebihan.

"Kesemua institusi perbankan Islam di Malaysia beroperasi berdasarkan nilai-nilai syariah dan dikawal selia serta mematuhi piawaian tinggi Bank Negara
Malaysia (BNM)," kata presiden AIBIM, Datuk Mohd Redza Shah dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa ini, permintaan terhadap produk-produk perbankan Islam di dalam pasaran amatlah memberangsangkan kerana ia berdaya saing dan didokong oleh
ketelusan tadbir urus dan mengutamakan dokumentasi kontrak yang jelas, sekali gus meningkatkan kestabilan dan integriti sistem perbankan Islam itu sendiri,
kata beliau.

"Produk-produk ini dikaji dan diluluskan oleh Jawatankuasa Syariah institusi perbankan Islam masing-masing dan disahkan oleh Majlis Penasihat Syariah BNM."

Mohd Redza menafikan laporan akhbar yang menyebut Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), yang menggesa agar diadakan semakan serta merta syarat dan terma yang digunakan dalam perbankan Islam, yang didakwa menindas para pengguna.

Mohd Redza terus menjelaskan yang ahli-ahli jawatankuasa penasihat syariah di institusi perbankan Islam adalah individu yang bertauliah yang mana
pengalaman dan kepakaran mereka adalah dalam bidang syariah dan fiqah muamalat.

Semua ahli AIBIM telah mematuhi saranan BNM di mana keahlian minimum bagi Jawatankuasa Syariah ialah seramai lima orang. Kesemua ahli jawatankuasa syariah ahli AIBIM dipilih dengan begitu teliti dan kelulusan BNM telah diperolehi.

"AIBIM telah bersedia untuk menerima segala aduan PPIM yang diketengahkan dan AIBIM akan melibatkan ahli-ahlinya dalam usaha menyelesaikan permasalahan
itu dengan bantuan BNM. Kepentingan serta keadilan pengguna sentiasa dilindungi dan diutamakan," kata beliau.

Mohd Redza berkata, beliau percaya yang perkara ini berlaku kerana salah komunikasi kepada para pelanggan. - Bernama 


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.