Perodua tingkat jualan di Mauritius
$entry.content.caption.value

KUALA LUMPUR - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengunjur dapat meningkatkan eksportnya kepada 10,000 hingga 11,000 tahun ini daripada kira-kira 8,000 kereta yang dieksport tahun lepas.

Pengarah Urusannya Datuk Aminar Rashid Salleh berkata sasaran itu merupakan sebahagian daripada rancangan lima tahun Perodua untuk mengeksport 20,000 kereta setahun menjelang 2015, bersamaan dengan 10 peratus jualan domestik syarikat. 

"Kami telah menganjurkan beberapa siri program untuk kakitangan kami seperti karnival sukan bagi meningkatkan produktivit dan mencapai sasaran kami," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Karninal Sukan 1Perodua 2012 di sini hari ini.

Sebanyak 14 kontingen seluruh negara mengambil bahagian pada karnival dua hari yang mempertandingkan acara tenis, ping pong, bola tampar, bola sepak, futsal, bola jaring, sepak takraw dan badminton.

"Adalah diharapkan karnival ini memperkukuhkan semangat pasukan kami dan meningkatkan kerjasama di kalangan pekerja kami," kata Aminar Rashid. 

Beliau berkata Perodua masih berunding dengan bank pusat mengenai kelonggaran pinjaman bagi sewa beli kereta yang dikenakan berkuatkuasa tahun ini.
 
Beliau berkata sehingga kini kesannya dapat dilihat kebanyakannya pada model
 
Perodua Viva, yang tempahan pada Januari susut sebanyak 10 peratus berbanding purata bulanan 2011.
 
"Pada dasarnya, kami menyokong keputusan bank pusat itu memandangkan kami tahu objektif utama pelaksanaan ini adalah untuk mengurangkan jumlah hutang isirumah.
 
"Bagaimanapun, kami berharap kerajaan akan menimbangkan semula keputusan itu kerana langkah mengetatkan pinjaman akan mempengaruhi bukan hanya jualan tetapi juga keseluruhan ekosistem, termasuk vendor pengeluaran dan pelanggan," katanya.
 
Beliau juga menyatakan rasa terima kasih kepada Bank Negara di atas perhatian mengenai keadaan berkenaan dan untuk memanggil pengeluar kenderaan bagi membincangkan perkara itu.   

"Kami berharap untuk mendapatkan hasil yang positif daripada perbincangan tersebut," katanya.  - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.