• Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade)
  • Permintaan tinggi produk bahan binaan Malaysia MATRADE menyertai The Big 5 Show Dubai 2011 bagi mempromosikan produk bahan binaan buatan Malaysia.
1 /

KUALA LUMPUR - Pertumbuhan pesat sektor pembinaan di luar negara mendorong peningkatan terhadap permintaan produk bahan binaan buatan Malaysia.

Hakikat ini dapat dilihat melalui peningkatan nilai eksport barangan berkenaan yang berjumlah RM8.92 bilion, bagi tempoh Januari hingga Mei 2012, dimana ianya adalah 4.78 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), eksport negara bagi tahun 2011, untuk sektor bahan binaan adalah sebanyak RM19.8 bilion, di mana negara-negara pengimport utama produk tersebut adalah Jepun, Singapura, Australia, Amerika Syarikat, dan Indonesia.

Menyentuh mengenai pasaran bagi sektor bahan binaan, MATRADE menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia menerokai pasaran Asia Barat, Asean dan Afrika.

Negara-negara seperti Hong Kong, China, dan Sri Lanka contohnya menawarkan peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia yang mengeksport produk galian bukan logam seperti kaca dan barangan kaca, kapur serta simen.

Pengeksport barangan besi dan keluli digalakkan untuk memasarkan produk mereka di Russia, Korea dan Thailand di mana permintaan untuk tiub dan paip, bar serta wayar berasaskan besi dan keluli adalah tinggi.

Produk berasaskan kayu seperti panel bersalut venir, papan lapis, serta papan partikel  pula mempunyai potensi pasaran di India, Taiwan dan Jepun.
Selain itu, Arab Saudi dan Vietnam pula menawarkan peluang luas untuk pembekal produk logam seperti paku, skru dan bolt serta produk dawai dan gril pagar.

Memandangkan bangunan-bangunan baru pada masa kini di kebanyakan negara dimestikan untuk dibina mengikut spesifikasi bangunan hijau yang telah ditetapkan, bahan binaan yang mesra alam seperti panel solar, sistem penyejukan dan bahan binaan biomass yang diperbuat daripada kayu komposit mempunyai potensi eksport yang menggalakkan.

Pengeluar panel solar contohnya, boleh membekalkan atau bekerjasama dengan syarikat luar negara bagi merekabentuk produk tersebut untuk pasaran antarabangsa.

MATRADE telah mengambil inisiatif bagi mengadakan Pameran Perkhidmatan Malaysia (MSE) di Doha, Qatar, yang telah berlangsung pada 30 April hingga 3 Mei bagi mempromosikan produk bahan binaan Malaysia.

MSE 2012 telah dianjurkan di Qatar  kerana negara tersebut akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, di mana ia akan membuka peluang yang luas kepada syarikat-syarikat Malaysia bagi membekalkan bahan binaan dari segi pembinaan infrastuktur, baikpulih stadium serta pembinaan hotel.  

Di antara projek yang telah dikenalpasti semasa MSE 2012 termasuk pembinaan bangunan-bangunan untuk kediaman dan ruang pejabat serta kompleks beli-belah, pembinaan infrastruktur dan lebuhraya moden, pembinaan jaringan landasan (rail), serta pembinaan Lusail Light Rail.

Dalam rangka program promosi perdagangan bagi tahun 2012, MATRADE telah menyenaraikan beberapa aktiviti bagi menggalakkan eksport produk bahan binaan.

Syarikat-syarikat bahan binaan Malaysia yang berminat boleh juga mempamerkan produk mereka di Pusat Pameran Eksport Malaysia atau Malaysia Export Exhibition Centre (MEEC) yang terletak di Menara MATRADE.