INDUSTRI kecil dan sederhana (IKS) tempatan perlu memulakan pembangunan ‘produk dan perkhidmatan bagi revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) supaya kekal relevan dalam pasaran,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Datuk Norhalim Yunus.

Beliau berkata, dengan Industri 4.0 semakin diterapkan di Malaysia, penggunaan automasi dan kecanggihan teknologi akan menghapuskan pembaziran selain mendorong kos menjadi lebih rendah, meningkatkan jumlah pelanggan dan mengupayakan daya saing.

“Peranan MTDC adalah mengenal pasti dan menyediakan platform untuk syarikat IKS menyertai Industri 4.0.

“MTDC juga menyediakan khidmat sokongan bersepadu, termasuk khidmat nasihat seperti bimbingan, pinjaman mudah, penjenamaan, pengumpulan dana, kerjasama antarabangsa dan rangkaian, untuk usahawan teknologi,” katanya kepada pemberita semasa jelajah MTDC Road2Growth 2018, semalam.

Norhalim berkata Akademi Latihan Usahawan Teknologi MTDC (Tentra) turut menjalankan program melatih para usahawan teknologi agar menjadi sedia Industri 4.0.- Bernama