KUALA LUMPUR - Perjanjian sementara Malaysia Airlines Bhd untuk membeli lapan pesawat Boeing 787 telah luput dan syarikat penerbangan itu sedang berbincang tentang masa depan barisan pesawatnya.

Tahun lalu, syarikat penerbangan negara telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Boeing untuk membeli pesawat 787 yang dianggarkan bernilai RM2.25 bilion semasa lawatan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Washington.

Menerusi laporan Reuters, April lalu, Malaysia Airlines menyatakan minat untuk membeli 20 hingga 30 pesawat 'widebody' sama ada dari Boeing atau saingannya Airbus SE yang boleh mengembangkan atau menggantikan MoU Boeing sebelum ini.

Peluputan MoU pertama kali dilaporkan oleh Edge Weekly dan disahkan oleh jurucakap Malaysia Airlines pada Rabu.

Namun, jurucakap Boeing enggan mengulas mengenai perbincangan yang sedang berlangsung dengan pelanggannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Izham Ismail memberitahu Edge Weekly bahawa syarikat itu telah meminta maklumat berkenaan generasi baru pesawat 'widebody' daripada pengeluar tanpa menyatakan berapa jumlah yang ingin dibeli.

Katanya, ia terbuka kepada pengeluar untuk mencadangkan jumlah pesawat yang diperlukan syarikat penerbangan itu untuk pembangunan rangkaian selanjutnya.

Selain itu, keputusan untuk membuat pesanan akan dilakukan  paling awal pada suku keempat.

Syarikat penerbangan itu kini mempunyai pesawat Airbus termasuk A330s, A350s dan A380s.

Malaysia Airlines cuba membuat transformasi dalam operasinya dan mendapatkan semula keuntungan menjelang 2019 selepas dua tragedi pada 2014, kehilangan penerbangan MH370 yang masih menjadi misteri dan penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine.

Sumber juga memberitahu Reuters, pada Julai, syarikat penerbangan itu menghubungi beberapa bank untuk membiayai sembilan pesawat Boeing 737 Max,  yang akan menjadi pinjaman pembiayaan pesawat pertama sejak syarikat itu disusun semula lebih tiga tahun lalu.

Dalam laporan yang dikemaskini setiap suku tahun, Malaysia Airlines turut terkesan akibat harga bahan api yang tinggi, ketidaktentuan pertukaran mata wang asing dan lebihan kapasiti di pasaran domestik, serta kekurangan juruterbang.

Namun, syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk kembali  mendapatkan keuntungan pada tahun seterusnya.