PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) telah menyerahkan 1,000 unit Myvi serba baharu kepada pelanggan di seluruh negara sejak pelancaran rasmi pada 16 November 2017 dengan lebih 80 peratus adalah bagi varian 1.5L.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, syarikat itu berusaha untuk menyerahkan Myvi serba baharu kepada pelanggan bagi memenuhi keperluan mendesak mereka terhadap pengangkutan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pihaknya mempunyai stok yang cukup bagi memenuhi permintaan yang telah mencatat 13,000 tempahan setakat ini.

“Sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan dan kami berterima kasih kepada pelanggan kerana memilih Perodua, terutama Myvi serba baharu sebagai kereta pilihan mereka.

“Kami mengalu-alukan pelanggan ke bilik pameran untuk berbincang dengan penasihat jualan kami untuk melihat dan memandu uji sendiri Myvi serba baharu itu,” tambahnya. –Bernama