BANK Rakyat menawarkan Pembiayaan Pendidikan-i sehingga RM1 juta bagi membiayai kos pengajian pelajar ke peringkat lebih tinggi.

Ketua Pegawai Operasi (Perniagaan) Bank Rakyat, Datuk Amirudin Abdul Halim berkata, pelajar yang berkelayakan boleh memohon Pembiayaan  Pendidikan-i sehingga RM1 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga 20 tahun pada kadar keuntungan yang kompetitif.

“Dalam usaha kerajaan ke arah mencapai negara berpendapatan tinggi dan maju masih ada lagi pelajar berkelayakan tidak dapat menyambung pelajaran kerana kekangan kewangan.

“Kerana itu Bank Rakyat mengambil inisiatif membantu pelajar ini melalui Pembiayaan Pendidikan-i,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Universiti Malaysia Pahang (UMP), Akati Consulting (M) Sdn Bhd, Admal Aviation College dan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di Kuala Lumpur.

Menurut Amirudin, kerjasama tersebut merupakan inisiatif Bank Rakyat bagi mempromosi Pembiayaan  Pendidikan-i dengan meluas di samping menyumbang kepada pembangunan modal insan negara bagi melahirkan masyarakat berkemahiran tinggi.

Turut sama  pada majlis tersebut adalah Naib Canselor UMP, Professor Datuk Seri Dr Naing Nasir Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Akati Consulting (M) Sdn Bhd, R Krishna; Ketua Pegawai Eksekutif Admal Aviation College, Abd Malek Packeer Mohamed; dan Ketua Pegawai Eksekutif  KPTM,  Nordin Ahmad.

Syarat kelayakan bagi memohon pembiayaan adalah warganegara yang berusia 18 ke atas dan tidak melebihi 60 tahun pada akhir tempoh pembiayaan.

Selain itu, pendapatan minimum ibu bapa atau penjaga pemohon dan pemohon (pasca siswazah) adalah RM2,000.

Sementara itu, Daing Nasir berkata, pembiayaan ini ditawarkan kepada pelajar yang bakal mengikuti program dwi ijazah antara UMP dengan Karlsruhe University of Applied Science dan Reutlingen University Jerman serta pelajar yang akan mengikuti Program Kerjasama Akademik UMP dan German-Malaysia Institute di universiti ini.

“Kami percaya lebih banyak peluang kolaboratif yang akan diterokai dan UMP juga komited untuk melebarkan jaringan kerjasama bersama rakan strategik lain yang dapat dimanfaatkan untuk pembangunan serta kecemerlangan universiti,” katanya.

 Krishna pula berkata, kerjasama strategik ini memberi peluang kepada pakar keselamatan maklumat dan pelajar yang mengikuti program keselamatan siber serta mengambil pensijilan yang diiktiraf di peringkat global tanpa perlu bimbang tentang yuran pengajian.