PASARAN eksport global yang semakin berkembang, menawarkan pelbagai peluang lumayan kepada usahawan tempatan, tidak kiralah sama ada perniagaan berskala besar atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ramai usahawan mengambil peluang untuk menembusi pasaran antarabangsa, lebih-lebih lagi dalam keadaan nilai ringgit yang jatuh ketika ini.

Mereka perlu mencari alternatif untuk mengembangkan perniagaan dalam pasaran yang lebih luas dan berpotensi besar.

Kelebihan sijil halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai antara yang terbaik di dunia bagi produk makanan, bukan makanan dan perkhidmatan, memberi nilai tambah untuk produk tempatan meluaskan pasaran di luar negara.

Tambahan pula, dengan populasi penduduk Islam antarabangsa berjumlah 1.83 bilion, berbanding 30 juta rakyat Malaysia, menyebabkan ramai usahawan berlumba-lumba untuk ke peringkat antarabangsa.

Selain itu, ada segelintir peniaga memfokuskan perniagaannya untuk pasaran eksport, kerana dikatakan pasaran antarabangsa lebih berbaloi daripada tempatan, memandangkan kesukaran untuk membawa masuk produk ke pasar raya.

Ada juga usahawan yang berjaya membawa produk mereka ke luar negara, namun mengalami kesukaran untuk terus membekalkan produk ke sana kerana kekangan kapasiti pengeluaran.

Bagaimanapun, dengan bantuan beberapa pihak seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), usahawan boleh menjadikan agensi-agensi itu sebagai rujukan dalam mempromosi dan memasarkan produk tempatan ke luar negara.

Eksport jana pendapatan tinggi

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berpendapat, eksport merupakan antara cara mengembangkan kapasiti perniagaan, selain menjana pendapatan lebih tinggi.

Matrade berkata, walaupun eksport sedikit terjejas akibat keadaan ekonomi global dan prestasi perdagangan rendah daripada negara-negara serantau

serta kejatuhan harga minyak, namun kejatuhan nilai ringgit memberikan impak positif kepada pengeksport, yang menggunakan input barangan tempatan.

Ini kerana, mereka dapat menjana banyak jualan, apabila menjual produk dalam mata wang lebih tinggi, seperti dolar Amerika Syarikat (AS$).

"Kejatuhan nilai ringgit menggalakkan syarikat tempatan dalam sektor utama, seperti seperti elektrik dan elektronik (E&E), untuk menggunakan kandungan keluaran tempatan.

Syarikat tempatandinasihatkan mengurangkan kandungan sumber asing untuk produk mereka dan menggunakan banyak kandungan tempatan sebagai kandungan alternatif dalam menghasilkan produk atau perkhidmatan mereka.

"PKS (perusahaan kecil dan sederhana) disaran menggunakan mata wang seperti Baht dan Renmimbi dalam berdagang, untuk mengurangkan kerugian serta mengelak daripada penukaran dua kali, seperti RM-AS$-Bath," katanya.

Untuk membawa masuk produk dan perkhidmatan ke luar negara, Matrade berkata, PKS perlu memahami eksport secara menyeluruh dan merujuk kepada Matrade, sebagai agensi promosi eksport negara di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), untuk mendapatkan konsultasi tepat berhubung perkara itu.

Menurutnya, PKS perlu berkemampuan dari segi pengeluaran untuk memenuhi permintaan eksport, pengurusan kewangan dan modal insan yang baik, pemasaran, pematuhan kepada keperluan eksport, serta memenuhi undang-undang berkaitan eksport.

"Dari segi undangundang, PKS perlu mematuhi keperluan undang-undang antarabangsa, memahami Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), kesedaran Hak Harta Intelek (IPR),

kontrak jualan antarabangsa dan pengetahuan dalam penyelesaian timbang tara dan pertikaian," katanya.

Bantu syarikat tempatan Matrade sentiasa membantu syarikatsyarikat Malaysia terutamanya PKS, melalui pelbagai inisiatif melibatkan program promosi eksport dan program pembangunan pengeksport.

"Aktiviti promosi eksport melibatkan penyertaan Matrade membawa syarikat

tempatan ke pameran antarabangsa seperti Pameran dan Persidangan Petroleum dan Antarabangsa Abu Dhabi (Adipec) di Dubai, Offshore Technology Conference di Houston, Anuga di Cologne dan banyak lagi.

"Matrade juga menganjurkan pameran ikoniknya sendiri seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) dan Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Intrade), yang menampilkan Minggu Fesyen Malaysia. Tahun ini Matrade terlibat dalam lebih daripada 85 acara pameran tempatan dan luar negara. Matrade juga melancarkan siri pengajian eksport online yang dipanggil e-learning, baru-baru ini," katanya.

Matrade juga menyediakan bantuan kewangan, melalui Geran Pembangunan Pasaran dan Dana Eksport Perkhidmatan, yang merupakan inisiatif di bawah Kempen 'Beyond Nations', yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 1 September lalu.

Selain pameran-pameran perdagangan, Matrade juga berperanan membawa produk tempatan menembusi pasaran luar negara, menerusi misi perdagangan dan pelaburan, misi pemasaran khusus (Misi Pecutan Eksport), program penjenamaan negara, serta

menganjurkan sesi padanan perniagaan.

Prestasi eksport produk tempatan Januari-Ogos 2016:

1. Eksport barangan perkilangan - RM413.26 bilion (menyumbang sebanyak 82.6% kepada jumlah eskport Malaysia).

- Barangan elektrik dan elektronik (E&E).

- Jentera, kelengkapan dan peralatan.

- Barangan optik dan saintifik.

- Kimia dan bahan kimia.

- Barangan perkilangan logam.

- Barangan makanan diproses.

- Kelengkapan pengangkutan.

2. Eksport keluaran pertanian - RM43.95 bilion.

3. Antara negara-negara terlibat bagi produk-produk ini:

- Singapura.

- Republik Rakyat Cina.

- Amerika Syarikat.

- Jepun.

- Thailand.

4. Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak 1.8 peratus kepada RM52.21 bilion, berbanding RM51.28 bilion berbanding lapan bulan pertama 2015.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TECHNOLOGY Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) adalah sebuah agensi kerajaan yang berperanan untuk membantu syarikat-syarikat tempatan berasaskan teknologi.
  • INDUSTRI herba terus berkembang apabila menyaksikan peningkatan antara 10 hingga 15 peratus setiap tahun pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam mengeluarkan produk hijau, herba dan semula jadi di negara ini.
  • MALAYSIAN Millenium Entrepreneurs Consortium (MMEC) jalin kerjasama dengan Pusat Perniagaan Antarabangsa Pertubuhan Kerjasama Islam, Majlis Perniagaan Mongolia Malaysia serta Laanza Hyper (Kuwait), bagi membantu usahawan tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mengembangkan pasaran produk mereka ke pasaran antarabangsa.
  • SME Corp Malaysia, menjangkakan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) milik usahawan wanita meningkat dalam Anugerah 50 Enterprise (E50) tahun ini.
  • SUMBANGAN perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka berkembang antara lima dan 5.5 peratus tahun ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.