DIALOG dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-Jepun (POTDS) siri ke-53 yang berlangsung baru-baru ini disesuaikan bagi memenuhi tuntutan dan aspirasi yang semakin meningkat daripada pengguna dan pengilang minyak sawit Jepun.

POTDS memfokuskan aspek mengekalkan hubungan niaga sedia ada antara rakan Jepun dan Malaysia pada masa sama beri peluang penggiat industri minyak sawit Malaysia meneroka peluang baharu menerusi inovasi dan teknologi Jepun.

POTDS juga bertujuan menyediakan platform menangani isu dan cabaran ini seterusnya  menterjemahkannya dalam peluang perniagaan dan perkongsian antara pembekal Malaysia dan pengguna akhir Jepun.

Selain itu, kertas kerja dibentangkan turut membincangkan topik pasaran minyak semasa di Jepun, prospek harga dan arah pasaran minyak sayuran di seluruh dunia, inovasi baharu dan kemajuan teknikal dalam industri ini, serta pengeluaran dan pembekalan minyak kelapa sawit lestari yang disahkan.

Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Lee Yeow Chor berkata, minyak sawit Malaysia menyumbang 502,000 tan minyak sawit atau 71 peratus daripada jumlah minyak kelapa sawit yang diimport ke negara ini.

"Salah satu sebab utama Jepun mahu mendapatkan sebahagian besar bahan mentah kelapa sawit dari Malaysia adalah disebabkan oleh bekalan, kualiti dan jaminan kemapanan yang disokong sistem persijilan diiktiraf.

"Perdagangan dan industri Jepun secara khusus menghargai langkah berani Malaysia menjadikan mandatori Skim Persijilan Minyak Sawit Malaysia (MSPO) menjelang Januari 2020 sekali gus bergerak lebih tinggi menjelang Majlis Olimpik Tokyo 2020 yang mengiktiraf MSPO sebagai salah satu sistem persijilan untuk perolehan minyak sawit yang berkelanjutan," katanya selepas merasmikan acara tersebut yang dianjurkan MPOC bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) serta disokong  Persatuan Pemproses Oilseed Jepun (JOPA).

Pada 2017 Jepun antara 10 destinasi eksport teratas untuk  semua produk Malaysia dan minyak sawit terus menjadi komponen penting dalam eksport Malaysia ke Jepun.