KUALA LUMPUR – Harga barangan yang dijual secara dalam talian belum menyaksikan sebarang peningkatan sejak pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 Sept lepas, kata Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho.

Beliau berkata setakat ini belum ada berubahan harga yang ketara dicatatkan ke atas lebih 19 juta barangan yang dijual di platform e-dagang.

“Kami mencatat pertumbuhan jualan yang kukuh merentas seluruh kategori, daripada fesyen kepada elektronik, kesihatan dan kecantikan, selain barangan runcit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shoppee mempunyai kira-kira 400,000 penjual dan lebih 500 jenama besar yang menjual produk masing-masing menerusi platform dalam talian.

Ho berkata tiga faktor menyumbang kepada tiada perubahan harga barangan – barangan dibeli semasa sifar cukai, pengeluar belum melepaskan kos SST kepada peniaga dan kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana memutuskan untuk menyerap kos SST.

“Kami belum pasti selama mana harga akan kekal rendah. Buat masa ini, pasaran sedang menikmati harga lanjutan pra-SST bagi kebanyakan barangan dalam talian, dan sudah tiba masanya untuk pasaran membeli telefon mudah alih, aksesori komputer dan barangan kediaman sebelum impak sebenar SST dirasai,” katanya. - Bernama