SELAIN menikmati keindahan alam dan kepelbagaian budaya, agama dan etnik, pelancong menyifatkan Malaysia sebagai syurga makanan.

Bukan sahaja makanan tempatan yang dihidangkan, malahan pelbagai jenis makanan mudah diperolehi dan memberikan kemudahan kepada mereka.

Little Fat Duck Sdn Bhd (Little Fat Duck) yang terkenal dengan signatur pasta yang menyajikan kepelbagaian makanan dari Itali dan Perancis berkonsepkan lunch box pastinya memberi pengalaman manis kepada pengunjungnya.  Malahan, harga menunya RM5 setiap hari menyebabkan ia menjadi pilihan dan dianggap tidak munasabah.

Pemiliknya, Adel Muhamed Ishak optimis harga berpatutan itu membolehkan pelanggannya menikmati kelazatan makanan di Little Fat Duck yang merupakan resipi diformulasikan sendiri untuk menepati cita rasa penduduk tempatan dan antarabangsa.

Little Fat Duck menyediakan makanan Itali dan Perancis berkonsepkan lunch box.

"Dengan hanya berbelanja RM5, pelanggan akan menikmati makanan yang mereka sukai dan kami tawarkan menu berbeza setiap hari. Little Fat Duck akan menyediakan Bolongnaise pada Isnin. Suasage Spinach Bechamel pada Selasa dan Carbonara pada Rabu.

"Little Fat Duck menawarkan chicken mushroom mornay pada Khamis manakala pada setiap Jumaat adalah chicken confit yang dilengkapi dengan teh ais limau dan puding," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, baru-baru ini.  

Adel berkata, Little Fat Duck juga menawarkan lebih 20 menu dan lebih lima minuman yang bermula pada harga serendah RM3.80.

Rata-rata pelanggan yang pernah merasai makanan di Little Fat Duck, akan terkejut dengan harga yang kami tawarkan dan kebanyakan mereka akan berkunjung semula pada keesokannya untuk menikmati menu lain pula.

Sediakan makanan halal

Little Fat Duck menjaga kualiti, kebersihan dan standard serta memperolehi sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Januari 2017.

“Kami beri jaminan keselamatan makanan dan kawalan kualiti menjadi keutamaan kami berikutan kami melalui proses dan standard ketat untuk memperolehi pensijilan itu, kami akan terus mendukung janji kami kepada pelanggan.

"Selain menerima pensijilan halal, Little Fat Duck juga mempunyai Central Kitchen di Taman Mayang, Petaling Jaya bertujuan menjaga kualiti, rasa dan sebagainya. Kebanyakan pelanggan menganggap Little Fat Duck adalah kafe yang menyediakan makanan yang berasaskan itik," katanya.

Bagaimanapun Adel berkata, setelah hampir tiga tahun beroperasi di sekitar Lembah Klang, Little Fat Duck mendapat sambutan memberangsangkan.

"Dekorasi kios yang minimalis dan kontemporari memberi keselesaan dan ketenangan kepada pelanggan yang ingin menikmati sajian pasta yang sedap dan lazat. Setakat ini, Little Fat Duck beroperasi di pusat membeli-belah One Utama, Tropicana City, Evolve, Damen dan KDU Glenmarie.

Selain menu yang lazat dan sedap, konsep minimalis dan kontemporari menyebabkan Little Fat Duck menjadi pilihan.

"Selain kios di pusat membeli-belah, sajian Little Fat Duck juga boleh diperolehi di Food truck Little Fat Duck boleh dijumpai di acara terpilih dan menerima tempahan katering," katanya.

Katanya, Little Fat Duck merancang untuk membuka kios di beberapa lokasi antaranya di Terengganu dan Kelantan serta selatan Semenanjung Malaysia.

Bermula dari trak makanan   

Sebelum ini, Little Fat Duck menyediakan makanan Itali dan Perancis yang dijual dengan menggunakan trak makanan di SS15 Subang Jaya, Selangor dan memberi ilham kepada Adel untuk meluaskan pasarannya ke kios dalam pusat membeli-belah terkenal di sekitar Lembah Klang sejak 2014.

"Alhamdulillah, ketika berniaga menggunakan trak, kami mendapat sambutan luar biasa. Cabaran paling utama adalah cuaca dan jerebu pada 2014 menyebabkan kami mengambil keputusan berniaga di kios One Utama," katanya.

Katanya, salah satu hidangan yang wajib cuba di Little Fat Duck adalah confit ayam yang terdiri daripada keseluruhan paha ayam diperap selama 12 jam dan dimasak untuk 24 jam sebelum digoreng dan disajikan atas kentang lecek disiram dengan sos.

"Spageti bolognese yang harus dicuba apabila berada di restoran ini. Sos tomato yang kaya dengan daging yang dimasak dari awal dan ditambah rasa dengan herba Itali, tomato berjus, sayur-sayuran segar dan daging menjadikannya terkemuka," katanya.

Adel melihat perniagaan makanannya mempunyai potensi yang baik dan merancang lima menu baru menjelang akhir tahun ini untuk memenuhi kehendak pelanggannya yang bukan sahaja membeli pada tengah hari, malahan mereka akan membeli pada waktu malam.   

"Little Fat Duck kini dikunjungi lebih 31,000 pelanggan pada setiap bulan. Kami juga menerima banyak tempahan katering antaranya untuk mengadakan majlis keraian, hari jadi dan sebagainya serendah RM1,200.

"Untuk katering kami menyediakan pelbagai menu dan beroperasi selama dua jam dengan menggunakan trak. Makanan boleh dihantar dengan yuran penghantaran atau dikutip dari cawangan," katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi www.littlefatduck.com. Ikuti kami di Facebook www.facebook.com/littlefatduckmalaysia/ dan Instagram littlefatduckmalaysia.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.