SEBUAH pasar raya agro menjual pelbagai barangan segar keluaran peladang dan usahawan tani dijangka memulakan operasinya di Petaling Jaya, November ini, sebagai sebahagian program Jihad Memerangi Orang Tengah yang diterajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
 
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasar raya itu akan menjual produk segar seperti ayam, daging, bawang, rempah ratus, buah-buahan dan sayur-sayuran hasil ladang daripada petani dan peladang.
 
“Harganya akan lebih murah sebab kita ambil terus daripada penternak dan peladang serta tidak menggunakan orang tengah,” katanya.
Ismail berkata, kementerian itu menyasarkan untuk memperluaskan kewujudan pasar raya agro di setiap negeri.
 
“Selepas ini, kita akan bangunkan pasar raya agro di Tanjung Agas di Muar, Johor. Lokasinya sudah dikenal pasti dan ia akan dibuka pada bila-bila masa mungkin tahun ini,” katanya.
 
Menurutnya, pasar raya itu diwujudkan hasil inisiatif Pertubuhan Peladang Kebangsaan Malaysia (Nafas) dan akan dibangunkan di aras satu bangunan pejabat operasi baharu pertubuhan itu.
 
Selain itu, katanya, pusat pengumpulan dan pengedaran turut akan dibangunkan di aras sama pejabat Nafas.
 
“Tingkat bawah bangunan pejabat Nafas yang baharu ini akan diubahsuai terlebih dahulu untuk menempatkan pasar raya agro dan pusat pengumpulan dan pengedaran. Ia dijangka siap dalam tempoh dua bulan dan proses pengubahsuaian ini akan menelan belanja kira-kira RM5 juta.
 
“Nafas juga akan ambil produk dari luar negara seperti daging lembu import dari Sudan dan kubis dari Acheh. Ia akan ditempatkan di pusat pengumpulan dan pengedaran kerana 70 peratus keperluan kita adalah diimport, manakala 30 peratus lagi dikeluarkan dalam negara,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Nafas dan Agrobank di Kota Damansara, semalam.
 
Hadir sama, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Nafas, Datuk Seri Saipolbahari Suib dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman.
 
Menerusi perjanjian yang dimeterai, Agrobank membiayai RM58 juta kepada Nafas untuk pertubuhan itu membeli bangunan tiga tingkat baharu di Kota Damansara sebagai rancangan pengembangan dan pembangunan pertubuhan itu.
 
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENYEDIA perkhidmatan kewangan kepada sektor pertanian, Agrobank secara rasmi menjadi institusi perbankan Islam sepenuhnya bermula esok, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
  • USAHA untuk memajukan industri sarang burung walit tetap diteruskan walaupun timbul isu yang menggugat pemasaran sarang burung walit Malaysia ke luar negara khususnya ke China, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
  • BERA - Malaysia akan menjadikan Wilayah Chiba di Jepun sebagai pintu masuk produk halal negara ini ke Negara Matahari Terbit itu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
  • XG Health menerusi jenama XG17 memperkenalkan produk anti kanser berasaskan herba dan tumbuhan bagi empat produk keluarannya iaitu biskut, coklat, teh dan penjagaan kulit.
  • PRODUK Halal Malaysia dijangka menembusi pasaran Wilayah Qinghai pertengahan tahun depan dengan sasaran nilai dagangan RM50 juta setahun, kata Menteri Pertanian dan ndustri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.