JAKARTA -  Jasa Marga melalui Pusat Maklumat Lalulintas Jasa Marga (JMTIC), akan memasang 564 kamera litar tertutup (CCTV) di semua segmen jalan tol sekitar Jasa Marga.

Pemasangan itu bermula dari Surabaya, Semarang, Cirebon, Jabodetabek dan Purbaleunyi.

Memetik laporan KOMPAS.com, Pengurus JMTIC Hervian berkata, melalui pemasangan 564 CCTV tersebut, JMTIC boleh mendapatkan maklumat untuk disebarkan kepada orang ramai, sama ada melalui laman web atau akaun Twitter Jasa Marga, dalam tempoh 30 minit sekali setiap hari kepada pengguna jalan.

“Kemas kini maklumat boleh dilakukan pada bila-bila masa termasuk pada hari perayaan bagi mengetahui aliran trafik,

 “Jadi melalui CCTV ini, kita akan mampu melihat titik kepadatan di setiap segmen jalan tol,dan kemudian kita boleh memantau melalui peta,” katanya.

Tambah Hervian, pengguna juga boleh mengakses CCTV melalui jasamargalive.com.  

“Sebenarnya, untuk saiz yang sesuai, pemasangan CCTV adalah di setiap 500 meter jarak antara tol. Memang kami akan ke arah sana, tapi kami juga perlu memerhatikan kepada sumber elektrik,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Jasa Marga secara berkala akan memperbaiki perkhidmatan aplikasi JMCare yang akan membantu pengguna jalan tol melalui streaming, panduan jalan tol, tarif, hingga inovasi terbaru ‘butang kecemasan’ yang akan terus disambungkan kepada pusat khidmat pelanggan JMTIC.

“Melalui 18 Variable Message Sign (VMS) yang dipasang di pintu tol, serta di beberapa titik strategik tol seperti di persimpangan, Jasa Marga juga akan memberikan maklumat terkini berkaitan keadaan jalan tol. Sehingga, pengguna jalan boleh memilih untuk tetap menggunakan tol, atau memilih jalan alternatif.

Hervian berkata, syarikat itu telah memasang beberapa RTMS (Sensor Microwave Trafik Jauh) di bahagian jalan tol seperti Cikampek, Bekasi Barat dan Bekasi Timur, untuk mengesan kepadatan jalan raya.

“Maklumat ini juga dikongsi dengan Jabatan Polis dan Pengangkutan NTMC (Sistem Pengurusan Lalulintas Kebangsaan),” katanya.