Mula menghasilkan songkok secara suka-suka sejak 2001, kini nama Paling Atas Enterprise tidak asing lagi dalam kalangan penggemar songkok, khususnya di Melaka. Sambutan dan sokongan daripada kawan serta jiran yang menjadi pembeli pada peringkat awal menguatkan semangat untuk mengembangkan perniagaan tersebut.

Selepas dua tahun mengambil tempahan daripada beberapa peniaga pasar tani, pemiliknya, Norhayati Saleh, 47, nekad menjual songkok buatan sendiri di pasar tani bersama suaminya, Hussein Salleh. Setiap tahun, syarikat akan menampilkan kelainan pada pembuatan songkok supaya ia dapat dipelbagaikan dan pelanggan berpeluang mendapatkan produk berlainan.


Lebih 5,000 songkok dikeluarkan

Norhayati berkata, selepas dua tahun berkecimpung dalam bidang pembuatan songkok, mereka semakin yakin untuk mengambil tempahan dalam kuantiti lebih banyak. Katanya, berbeza dengan produk lain, songkok adalah produk semasa yang tidak digunakan ketika musim perayaan sahaja.

“Di peringkat awal, kami pernah menerima 300 tempahan songkok melibatkan tiga penjaja dan ia menjadi titik tolak kepada syarikat sehingga mempunyai bengkel pembuatan songkok sendiri.

“Selepas dua tahun, kami mula memasuki pasar tani, menyertai jelajah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan pelbagai promosi perindustrian kecil dan sederhana (PKS),” katanya kepada Sinar Harian.


Purata 20 songkok disiapkan sehari

Menurutnya, setiap karnival disertai, 300 songkok akan dibawa untuk jualan dan ia menjadi medium pemasaran terbaik kepada syarikat untuk mengetengahkan produk. Nohayati berkata, harga jualan bagi setiap songkok adalah serendah RM10 hingga RM150 melibatkan segmen kanak-kanak dan dewasa serta bergantung pada penggunaan material kain baldu.

“Setiap songkok mengambil masa dua jam untuk disiapkan dan syarikat mampu mengeluarkan 20 songkok setiap hari. Pembuatannya melibatkan 20 langkah utama, setiap langkah akan diproses dalam kuantiti yang banyak pada satu masa,” katanya.


Tembusi pasaran Singapura

Katanya, walaupun berpangkalan di Melaka, produk keluaran Paling Atas berjaya menambat hati pelanggan seluruh Malaysia dan juga di Singapura. Norhayati berkata, laman sesawang dan laman sosial Facebook menjadi platform pemasaran syarikat untuk mengetengahkan dan mengembangkan produk sehingga luar negara.

“Dengan cara ini, pasaran produk Paling Atas tidak hanya tertumpu dalam negeri Melaka semata-mata. Kebiasaannya, bagi pelanggan yang jauh, tempahan boleh dilakukan secara atas talian (online)  dan ia akan dihantar secara pos,” katanya.

Beliau berkata, bagi pelanggan dalam Malaysia, setiap pembelian RM50 dan ke atas tiada sebarang caj penghantaran dikenakan. Sebaliknya, pelanggan Singapura perlu menanggung sendiri caj penghantaran dikenakan.

Norhayati berkata, setiap tahun Paling Atas akan menampilkan pembaharuan. Tahun ini, kelainan yang ditampilkan adalah tidak menggunakan kertas bagi setiap pembuatan songkok. Katanya, antara kelainan diketengahkan sejak kewujudan paling Atas adalah tidak menggunakan surat khabar sebaliknya mereka lebih kepada penggunaan kertas minyak.


Tempahan guna kertas ikut kehendak pelanggan

“Tempahan songkok menggunakan surat khabar hanya dibuat berdasarkan permintaan pelanggan sahaja. Kedua-dua kelainan tersebut menjadikan Paling Atas berbeza dengan pengusaha songkok lain malah syarikat akan memastikan setiap tahun terdapat pembaharuan dari segi pembuatan atau penggunaan material,” katanya.

Menurutnya, selain daripada menerima tempahan dan menjual sendiri, syarikat turut menawarkan perkhidmatan borong kepada pelanggan yang ingin membeli secara pukal. Norhayati berkata, berikutan pemasaran semakin meluas maka syarikat optimis perolehan dan peningkatan meningkat 10 peratus tahun ini.

Katanya, berbanding sebelum ini, Paling Atas mampu mencatatkan perolehan sehingga RM50,000. Bagaimanapun, 80 peratus keutamaan syarikat adalah pada kualiti songkok tersebut.


Sasar meningkat 10 peratus

“Tempahan bagi songkok raya hanya diterima sehingga dua minggu Ramadan dan sekiranya pelanggan ingin memakainya selepas raya tempahan masih boleh dilakukan. Setiap tahun, pasti syarikat akan mengeluarkan reka bentuk terbaru dan nama produk tersebut diberi oleh pelanggan,” katanya.

Menurutnya, bagi menyertai promosi kraf tangan, syarikat perlu menampilkan sesuatu yang baru setiap tahun.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :