TIDAK sempurna pengantin tanpa inai atau lukisan hena di tangan. Pemakaian inai disifatkan sebagai salah satu perhiasan untuk kelihatan lebih manis dan menaikkan lagi seri dan pesona pengantin.

Namun kini, bukan setakat pengantin sahaja, mana-mana wanita juga suka memakai inai untuk berhias dan mengikut trend terkini yang menawarkan pelbagai pilihan corak menarik.

Ia juga tidak kekok dipakai pada bila-bila masa dan tidak terhad untuk ke majlis tertentu.

Ada banyak cara memakai inai. Secara tradisionalnya, ada yang masih suka membuat inai sendiri menggunakan daunnya. Kemudian ditambah dengan bahan-bahan tertentu agar warnanya kelihatan lebih menawan dan tahan lebih lama.

Ada juga yang hanya menggunakan inai serbuk. Hanya bancuh dan terus digunakan. Lebih mudah ada yang memilih menggunakan inai dalam bentuk tiub. Tidak kurang juga yang menawarkan perkhidmatan mengukir inai di tangan.

Revolusi inai sebagai pewarna kuku

Minat terhadap pemakaian pewarna kuku telah mendorong Pengasas Armasn Enterprise dan pemilik HeneKL, Siti Nazira Abdul Aziz, melakukan kajian dan inovasi dengan menjadikan pemakaian inai lebih moden.

Kajian dan formulasi HeneKL dilakukan suaminya sendiri, Mohd Adha Mohd Darus yang mengambil masa kira-kira dua minggu bagi menghasilkan warna inai yang dikehendaki.

“Kajian banyak dilakukan dengan mendapatkan pandangan orang lama yang lebih ‘pakar’ tentang penghasilan warna inai agar kelihatan lebih cantik dan tahan lama.

“Menggunakan serbuk inai dan kapur sebagai bahan utama, Adha mengambil masa kira-kira dua minggu untuk menghasilkan formula terbaik,” katanya.

Menurut Nazira, formula HeneKL yang dihasilkan juga tiada sebarang campuran bahan-bahan kimia, sebaliknya 80 peratus kandungannya adalah berasaskan inai.

Sepanjang proses kajian dan pembangunan (R&D) produk sulungnya, Nazira akui ia bukan mudah.

Beliau mahu HeneKL yang dihasilkan tidak berbau, tidak terlalu pekat dan paling penting boleh dibawa solat.

“Kepekatan dan sukatannya perlu betul untuk menghasilkan warna inai yang saya mahukan. Ini kerana HeneKL ini perlu sesuai digunakan pada kuku. Tidak terlalu pekat atau terlalu cair dan hanya mengambil masa 15 minit untuk kering.

“Menariknya inai yang dihasilkan ini, tiada tarikh luput dan masih kekal elok walaupun disimpan lama. Bahkan satu botol yang mengandung 15 mililiter (ml) boleh digunakan lebih 20 kali, namun bergantung kepada penggunaan individu itu sendiri,” katanya.

Pembungkusan dalam bentuk botol kuiteks banyak memberi kelebihan kepada produk HeneKL.

Berbanding pembungkusan dalam bentuk tiub atau yang dibancuh sendiri sukar dipakai malah mungkin lebih comot jika salah cara pemakaiannya.

Kerana itu, HeneKL disimpan dalam botol kuiteks dan dibekalkan berus yang lembut dan boleh terus digunakan.

Jualan melonjak dalam empat bulan

Mencantikkan kuku dengan inai kuiteks. Siapa sangka idea inovasi ini telah membantu beliau menjana pendapatan lumayan.

Bermodalkan RM500 untuk kos permulaan, Nazira tidak menjangkakan sambutannya dalam tempoh empat bulan dilancarkan awal tahun ini, amat menggalakkan.

“Saya bermula pada Mei lalu dengan pengeluaran sebanyak 50 botol. Kerana sambutannya amat  menggalakannya, kesemua botol habis dalam tempoh sehari,” katanya.

Walaupun hanya melakukannya di rumah sahaja, jualan HeneKL kini mencatat lebih 600 unit dengan pengeluaran sebanyak 200 botol sebulan secara puratanya. Jualan pula dilakukan secara atas talian sahaja.

“Sasaran saya adalah untuk menghasilkan 2,000 botol setahun. Dan kami juga bakal memperkenalkan pembungkusan baru yang lebih menarik dan eksklusif. Namun masih dijual pada harga berpatutan.

“Setiap pembelian juga, turut disediakan set penggilap kuku dan beberapa aksesori tambahan untuk kecantikan kuku yang lain,” katanya.

Nazira yang pernah mengeluarkan warna inai hitam dan pink akui, inai merah tetap menjadi pilihan dan merupakan produk paling laris.

Sehingga kini, HeneKL mempunyai seramai lima orang ejen dan berhasrat menambah sehingga 50 ejen menjelang akhir tahun.