PERKEMBANGAN jualan minuman berasaskan kopi yang amat memberangsangkan telah menjadi inspirasi kepada sebuah syarikat Bumiputera At Tulip Health & Beauty (At Tulip) turut bersaing dalam perniagaan itu dengan memasarkan kopi secara paket.

Syarikat yang berpusat di Taman Pandamaran Permai, Klang (Selangor) diasaskan oleh tiga rakan kongsi.

Menurut Pengurus Besar (Pentadbiran dan Sumber Manusia) At Tulip, Norliza Mohd Nazri pada awalnya, syarikat At Tulip ini diterajui oleh kakak beliau, Norzi dan rakan kongsinya yang memasarkan pakaian muslimah secara on-line secara sambilan.

Namun katanya, disebabkan pelbagai kekangan seperti kekurangan modal pusingan, operasi syarikat terpaksa dihentikan.

“Kemudian pada awal 2016,  saya bersama tiga rakan kongsi telah menyatakan hasrat untuk mengambil alih syarikat At Tulip dan dijenamakan semula sebagai At Tulip Health & Beauty.

"Visi utama syarikat ini adalah untuk memasarkan produk-produk kesihatan dan kecantikan. Produk pertama yang dikeluarkan adalah minuman berasaskan kopi," katanya.

Beliau berkata, pada peringkat awal, dia dan suami yang juga rakan kongsi perniagaan ini, Mohamad Fhamee berbincang mengenai ramuan yang sesuai untuk kopi yang bakal dipasarkan.

"Setelah hampir enam bulan membuat kajian dalam pelbagai sudut tentang pasaran kopi secara paket, kami telah mencipta ramuan kopi yang diberi nama “Coffee Brake”,” jelas Norliza.

Selain Norliza dan Mohamad Fhamee, dua lagi rakan kongsi At Tulip adalah Norzidatul Aini, dan Azizi Hadi Ahmad.

Jelas beliau, Coffee Brake telah dipasarkan melalui wakil jualan sejak Jun 2017, di mana 10 pengedar atau ejen sudah beroperasi di negeri Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur dan Perak.

Menurut Norliza, bagi membolehkan jualan Coffee Brake meningkat sebagaimana sasaran jualan iaitu sebanyak 3,000 paket sebulan, syarikat berkenaan sedang merekrut dan melantik lebih ramai wakil jualan (pengedar dan ejen) yang baru di seluruh negara.

“Harga pasaran runcit sepaket Coffee Brake yang mengandungi 15 uncang (sachet) kopi ialah RM30.00. Untuk pengedar dan ejen, At Tulip memberikan tawaran harga yang lebih kompetitif.

“Kelebihan pengambilan Coffee Brake ia dapat membantu mengurangkan tekanan (stress) dan kelesuan," katanya.

Beliau menambah, minuman kopi ini tidak akan meninggalkan bau kopi selepas peminumnya membuang air kecil dan ia juga membantu melawas pembuangan air besar setiap hari.  

“Ramuan kopi ini juga kaya dengan herba Lingzhi (Ganoderma) dan Panax Ginseng yang telah dikaji oleh para saintis terkemuka dunia yang membuktikan ia dapat memberi manfaat kepada kesihatan tubuh,” katanya.

Ujar beliau lagi, sebagai perancangan jangka panjang, pelbagai pendekatan pemasaran sedang dan telah dirangka oleh syarikat At Tulip di mana mereka telah menyiapkan beberapa video komersil (iklan) yang menjalankan penggambaran di sekitar ibu negara dan satu di Istanbul, Turki.

“Idea penghasilan iklan di Istanbul ini dicetuskan secara tidak sengaja dan apabila ia disiapkan oleh syarikat produksi yang berkenaan, kami amat berpuas hati dengan hasilnya.

“Video iklan  yang dihasilkan akan digunakan bagi tujuan pemasaran yang lebih efisien di platform media sosial seperti Instagram (IG), Facebook (FB), WhatsApp (WA) dan  laman web.

“Selain iklan komersil, kami   sedang mencetak risalah produk dan bahan promosi bagi kempen pemasaran yang  kami rancang sepanjang tahun ini dan tahun 2019,” jelasnya.