SIAPA sangka seorang insan yang bermula dari 'zero' dapat menghasilkan perubahan drastik dalam syarikat yang diterajuinya.

Biarpun masih baru dalam bidang perniagaan, tetapi Ketua Pegawai Eksekutif Zefiks Resources Sdn Bhd, Nik Afik Nik Ibrahim 32, mampu membuktikan anak Melayu juga boleh berjaya.

Dia mengakui dia tidak ada pengalaman berniaga. Dia asalnya hanya terilham dengan trend #OOTD yang menjadi kegilaan ramai  satu ketika dulu. Rasa ingin pula berniaga. Modal dikeluarkan?  Katanya, hanya RM200 sahaja waktu itu dan dia mendapatkan bekalan di Jalan Kenangan, Kuala Lumpur yang memang terkenal sebagai pembekal baju untuk pemborong. Dia kemudiannya menjual baju berkenaan hanya dengan menggunakan telefon.

“Tidak sangka pula, sambutan yang diterima amat memberangsangkan. Disebabkan itulah, kami berdua mulai memikirkan idea bagaimana untuk mengembangkan perniagaan dengan menghasilkan produk lain daripada lain dan dalam masa sama mampu menjana pendapatan.

“Ketika itu, saya masih lagi bekerja dalam bidang kejuruteraan di salah sebuah syarikat swasta. Berniaga hanya sampingan.

“Tidak lama kemudian, kami membuat pelaburan sekali lagi dengan bermodalkan  RM1,000 hingga RM2,000 untuk membeli kain tanpa berfikir dari segi kos jahitan," katanya.

Beliau berkata, kemudiannya dia dan isteri mula membuka tempahan kepada orang ramai dan sambutan yang diterima ketika itu sangat baik.

“Apabila dapat pulangan, barulah duit yang diperoleh digunakan membayar tukang jahit. Waktu itu, trend OOTD adalah gaun labuh, jadi kami menghasilkan gaun labuh dalam  sebanyak 1,000 sehingga 2,000 helai. Tidak sangka penghasilan gaun labuh mendapat permintaan ramai.

“Memikirkan perniagaan ini boleh pergi jauh dan boleh meningkatkan taraf hidup, jadi kami mengambil keputusan berani untuk menceburkan diri dalam  perniagaan fesyen ini sepenuh mana dan fokus dalam mengusahakannya," katanya.

Zefiks kini antara fesyen popular di internet.

Bermula atas talian

Zefiks bermula dengan perniagaan atas talian pada September 2012, dan kini  mempunyai sebuah butik di Bandar Baru Bangi.

Semua produk yang dihasilkan   berasaskan tiga elemen utama iaitu Moden, Ringkas dan Kontemporari.

Menurut Nik Afik, Zefiks sangat fokus kepada kombinasi pelbagai warna, tekstur dan corak kain  kerana mereka percaya produk yang berkualiti harus ada elemen-elemen ini.

“Selain itu, ia mesti unik, moden, sofistikated serta elegan namun dalam masa sama mesti sopan," katanya.

Katanya, Zefiks percaya  apabila mereka dapat menghasilkan  produk  yang selari dengan kehendak fesyen semasa mereka yang diminati pelanggan.

Bagaimanapun, katanya, syarikat tidak lari dari berhadapan pelbagai cabaran. Antaranya dari segi kapasiti pengeluaran, produktiviti serta pesaing fesyen kontemporari lain.

“Namun, berpegang kepada strategi perniagaan yang dibawa dengan mementingkan kualiti produk di tahap terbaik, Zefiks Resources Sdn Bhd terus dipacu bagi memastikan setiap pengeluaran produknya dapat menambat hati pelanggan dan seterusnya mampu mengunjurkan jualan yang tinggi pada setiap tahun.

Menurut Nik Afik, dalam perniagaannya, dialah yang bertanggungjawab dalam memastikan setiap fesyen kontemporari dan fesyen muslimah yang dihasilkan mengikut kepada pesona dan personaliti wanita dalam berfesyen.

Didokong pasukan pengurusan pentadbiran, pemasaran yang mantap termasuk atas talian, menjadikan Zefiks Resources Sdn Bhd kini kukuh di landasannya tersendiri menjadi jenama pilihan ramai, terutamanya golongan pertengahan yang inginkan  gaya menarik.

Mengapa #OOTD?

Siapa yang tidak suka bergaya. Setiap individu suka menggayakan padanan pakaian yang bersesuaian mengikut citarasa masing-masing.

Disitulah bermulanya #OOTD (Trend ‘Oufit Of The Day) yang menjadi kegilaan sehinggalah ke hari ini dengan memuat turun padanan pakaian yang digayakan di laman sosial seperti Instagram, Facebook dan yang lain pada setiap hari.

Bagaimanapun, tiada siapa sangka, daripada trend OOTD tersebutlah, menjadi penanda aras bermulanya langkah Zefiks Resources Sdn Bhd mencipta nama sebagai sebuah syarikat pengeluar fesyen kontemporari.

Kata Nik Afik, nama Zefiks, adalah gabungan namanya bersama isteri, Syarifah Nur Zati Abd Rashid, 31.

“Kami berdua memulakan operasi perniagaan mereka di sebuah butik kecil di Padang Jawa pada tahun 2013 dan ketika waktu itu, Zefiks masih lagi Enterprise.

“Asalnya kami hanya kenalan dan memulakan perniagaan ini setelah melihat kepada trend di mana orang suka OOTD dan mereka suka muat turun gambar di laman sosial. Dari situ, terfikir untuk menjual pakaian kepada orang ramai.

““Alhamdulillah operasi perniagaan kian berkembang dan pada hari ini mampu mencatatkan jualan mencecah RM400,000 hingga RM500,000 sebulan,” katanya berkelulusan Diploma Kejuruteraan Elektronik Kawalan di Politeknik Johor Bahru.   

Utamakan pembeli & koleksi raya

Kata Nik Afik, cabaran untuk kekal relevan pada hari ini adalah perlu memahami keperluan dan kehendak pembeli dalam persekitaran pasaran pesat yang sentiasa berubah.

“Bukan mudah. Sebaik melangkah masuk ke dalam bidang perniagaan fesyen ini, kita perlu menyasarkan pasaran yang ingin diterokai.

“Bukannya menghasilkan sesuatu produk itu baru mahu mencari pembeli, itu salah sebenarnya, sebaliknya perlulah membuat kajian apa yang pembeli atau pelanggan mahukan," katanya.

Menurut beliau, berpegang kepada startegi itulah, disamping moto Moden, Ringkas dan Kontemporari, syarikatnya menitikberatkan kualiti pakaian agar disukai pelanggan.

“Dalam industri fesyen ini, untuk memberi pesona dan personaliti wanita yang unggul memerlukan penghasilkan kualiti produk yang terbaik.

“Oleh sebab itu, setiap kain yang dihasilkan menerusi jenama ini diimport daripada China, Bangkok dan Jakarta.

“Tanpa pembeli, kita tidak akan kemana. Dalam masa sama, Zefiks Resources Sdn Bhd amat menjaga pelanggannya. Sekiranya pelanggan membuat urusniaga dalam atas talian sekalipun, jika ada sebarang pertukaran yang ingin dibuat, tiada sebarang caj dikenakan.

“Memang saya akui, syarikat ini tidak setanding dengan syarikat berskala besar, namun kami tetap percaya kepada produk keluaran yang dihasilkan melihat kepada sambutan dan sasaran pelanggan kami,” katanya.    

Sempena musim perayaan ini, Zefiks mengeluarkan koleksi terbaharu dengan gaya cukup menawan.

"Bermula dari rekaan baju kurung sehinggalah ke baju Melayu. Zefiks mengambil pendekatan mengeluarkan kuantiti yang banyak mengikut corak memandangkan permintaan itu sentiasa ada.

“Untuk tahun lepas sahaja, bagi koleksi raya, jualan Zefiks mencecah hampir RM2 juta. Dengan jualan yang memberangsangkan ini, kami percaya jenama Zefiks mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri dan mampu duduk sebaris dengan jenama-jenama berskala besar lain," katanya.  

Jualan atas talian menjadi penyumbang

Jualan atas talian merupakan platform mengukuhkan lagi kedudukan jualan Zefiks Resources Sdn Bhd.

Kata Nik Afik, sejak jualan atas talian dimulakan dua tahun lalu, jualan direkodkan mencecah RM6.5 juta sehingga kini.

“Jualan atas talian kini menyumbang sebanyak 60 peratus (%), manakala 40% daripada jualan butik,” katanya.

Katanya, selepas Hari Raya Aidilfitri, jenama Zefiks akan mengeluarkan koleksi baju kasual, palazo selain produk kecantikan.

Dengan kakitangan seramai 22 orang, dia merancang memasuki pasaran pasaraya. Juga Singapura.

Katanya, beliau mahu jenama Zefiks setanding H&M, Padini dan jenama-jenama besar yang lain yang mampu dimilik orang kebanyakkan.