Melihat kepada waktu terluang selepas berhenti kerja, Noriah Hassan, 40, mengambil peluang menjadikan hobinya sebagai medium menjana pendapatan sampingan.

Untuk permulaan, Noriah menghasilkan tote bag kegunaan diri sendiri dan anak-anaknya menggunakan kain lama. Hasilnya dipamer di laman sosial Facebook miliknya.

“Idea timbul selepas berhenti kerja dan mula melayan semula aktiviti kraf yang diminati. Setelah bergelar suri rumah, masa lapang agak panjang. Di sebabkan itu, saya memikirkan cara bagi mengisi masa lapang.

“Saya mula menghasilkan beberapa barangan kraf. Apabila tiba bulan puasa, idea timbul untuk membuat baju kurung kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, memandangkan tidak ramai menjual baju kurung kanak-kanak secara atas talian, Noriah mengambil peluang ini dan menarik nya, baju kurung hasil tangannya turut disertakan pengikat kepala dan kerongsang.


Laman sosial, blog medium promosi

Menurut ibu kepada empat orang cahaya mata ini, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada keluarga dan kenalan dikenali melalui Facebook.

“Saya bermula dari blog dan Facebook dengan hanya meninggalkan pesanan untuk sesiapa berminat. Cara ini lebih mudah mendapatkan pelanggan, selain maklum balasnya juga cepat dengan adanya ruang sembang dan sebagainya,” katanya.

Mengulas mengenai kelebihan hasil seninya berbanding pengusaha lain, Noriah berkata, dia mengambil persaingan sebagai cabaran dalam menghasilkan produk berkualiti.

“Saya anggap semua persaingan ini sebagai persaingan yang sihat. Dengan adanya persaingan begini, saya boleh mencari idea baru dan memperbaiki kekurangan produk yang saya hasilkan,” katanya memberitahu perniagaan yang dijalankan lebih bermakna apabila
menggunakan mesin jahit hadiah daripada suaminya.


Jualan mampu mencecah RM3000 sebulan

Dengan hanya bermodalkan RM200, untuk membeli peralatan asas, Noriah mampu mencapai purata jualan kira-kira RM3000 sebulan berikutan sambutan menggalakkan.

Katanya, bagi usahawan baru sepertinya, jualan dicapai setakat ini sudah memberangsangkan.

Malah, dia juga tidak menyangka mendapat maklum balas positif yang berpuas hati dengan hasil tempahan mereka.

“Bagi orang baru dalam perniagaan, jualan ini sudah memuaskan kerana ia bergantung kepada kemampuan tenaga, kemahiran dan masa, saya menyiapkan tempahan dari awal hingga akhir seorang diri” katanya.

Katanya lagi, sehingga kini, Nz Sweet Design menawarkan produk seperti pouch, baju kurung kanak-kanak, pengikat kepala, kerongsang, bekas pensel dan set tilam bayi.

Oleh kerana sambutan memberangsangkan, Noriah bukan sahaja menerima tempahan dalam negara, malah, dia juga pernah menerima tempahan dari Singapura, Brunei, dan Amerika Syarikat.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEMPENA ulang tahun ke-60, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), akan mengadakan majlis korban dan kenduri kesyukuran dengan mengorbankan enam ekor lembu.
  • KONVENSYEN Usahawan Bumiputera (KUB) 2017 berjaya menghimpunkan kira–kira 2,000 peserta, sekali gus menjadi salah satu perhimpunan usahawan Bumiputera terbesar di Malaysia.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.