Nadia bersalaman dengan Naib Presiden Operasi dan Francais Antarabangsa Restoren Landrys, Victor Jones pada majlis pelancaran rangkaian Bubba Gump Shrimp Co di Citta Mall.
NAZA Diners, cabang perniagaan berteraskan makanan dan minuman Kumpulan Naza meluaskan bidang makanan menerusi pembukaan cawangan baru Bubba Gump Shrimp Co di Kompleks Citta di Ara Damansara, Petaling Jaya.
Pengarah NZ Diners, Nur Nadia SM Nasimuddin berkata, pembukaan cawangan baru itu melibatkan pelaburan RM3.5 juta lebih mudah diakses dengan hanya melalui Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Persekutuan dalam masa 10 minit.
Menurutnya, cawangan baru itu akan memberi sumbangan ketara kepada NZ Diners dan bakal meningkatkan pendapatan kepada 42 peratus tahun ini menjadi RM13.5 juta.
“Sehingga kini, syarikat melabur RM12.4 juta bagi tiga cawangan pertama dan bercadang menambah RM15 juta dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang bagi empat cawangan baru.
“Selain cawangan Kompleks Citta, NZ Diners kini mempunyai restoran Bubba Gump Shrimp Co di The Curve dan Sunway Piramid,” katanya.
Di samping itu, Nadia berkata, cawangan baru itu menandakan permulaan fasa perkembangan baru bagi francais Bubba Gump Shrimp Co di Malaysia.
Katanya, NZ Diners bakal melancarkan dua cawangan baru di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur dalam tempoh tiga tahun dan melebarkan francais ke luar Lembah Klang.
“Serentak pembukaan cawangan itu, syarikat turut memperkenalkan menu baru seperti Dynamite Shrimp, Bubba’s Far Out Dip dan Shrimp Mayan Salsa, Lobster Linguini Pasta, Key Lime Pie dan Chocolate Dream Cake, manakala pelanggan juga boleh memilih mencipta burger mereka sendiri.
“NZ Diners turut menawarkan penambahan semula bagi minuman jus dan air karbonat secara percuma manakala, kanak-kanak berpeluang makan secara percuma setiap hari pada bila-bila masa,” katanya.




