KUALA LUMPUR - Datuk Seri Nazir Razak akan meletak jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan CIMB dan jawatan lain dalam kumpulan berkenaan pada 31 Disember 2018.

Menurut Kumpulan penyedia perkhidmatan kewangan itu, Lembaga Pengarahnya (BOD) akan mengaktifkan pelan penggantian bagi menentukan Pengerusi berikutnya dan tarikh tepat penyerahan jawatan.  

Penggantinya akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Kumpulan berkenaan.

Nazir berkhidmat dengan CIMB selama 29 tahun, termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan selama 15 tahun dan Pengerusi Kumpulan sejak tahun 2014.

Pada Jun lalu, Nazir, dalam maklum balasnya terhadap spekulasi laporan berita berhubung beliau meninggalkan kumpulan berkenaan, berkata tempohnya sebagai Pengerusi akan berakhir pada Ogos 2019 dan beliau pada masa itu belum memutuskan sama ada untuk memohon lanjutan.  

Memetik sumber, laporan berkenaan menyatakan bahawa, Nazir, adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bersedia untuk meninggalkan jawatan Pengerusi sebelum tamat tempoh jika diminta berbuat demikian.  

Ini membawa kepada apa yang dikatakan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, bahawa, ia adalah tertakluk kepada Nazir jika beliau ingin meletak jawatan sebelum tempoh kontraknya berakhir.

Dalam kenyataan hari ini, Nazir berkata: “Adalah sukar bagi saya mencari masa yang tepat untuk meninggalkan CIMB – tidak terlalu awal, tidak terlalu lewat – tetapi sentiasa memikirkan kepentingan dan apa yang terbaik buat firma berkenaan.

“Sejak beberapa minggu lepas saya menghabiskan banyak masa memikirkannya dan membuat keputusan bahawa adalah masa yang sangat sesuai untuk saya meninggalkan firma ini sebaik selesainya T18, pelan pengubahsuaian semula empat tahun CIMB yang dilancarkan pada 2014. Apa pun, misi kerjaya saya adalah membina CIMB menjadi institusi kewangan utama ASEAN,” katanya.  

Katanya, memandangkan T18 sudah hampir selesai, CIMB sekarang ini kukuh dari segi kewangan, organisasi yang teguh dan institusi yang kuat.

“Kami mempunyai pasukan pengurusan yang cemerlang diketuai oleh (CEO Kumpulan) Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan pelapis yang mengagumkan sebagai pemimpin masa depan yang berada di belakangnya.

“Kejayaan yang berterusan firma ini selepas ketiadaan saya akan mengesahkan bahawa misi CIMB saya sudah, sesungguhnya, dicapai,” tambahnya

Untuk beberapa minggu akan datang, keutamaan Nazir termasuk melengkapkan T18, penyempurnaan rangka kerja strategik baharu dan kelancaran penyerahan jawatan pengerusi kepada penggantinya.

Menurut CIMB, di bawah kepemimpinannya, Kumpulan berkenaan berkembang daripada sebuah francais kewangan korporat yang baharu kepada bank pelaburan utama di Malaysia yang kemudiannya bertukar menjadi bank universal utama di Asean.

Kumpulan berkenaan disenaraikan pada 2003 dengan aset sebanyak RM9.6 bilion dan modal pasaran sebanyak RM1.5 bilion.

Sehingga 30 Jun 2018, aset Kumpulan berkenaan adalah sebanyak RM515 bilion dan modal pasaran semasa sebanyak RM58 bilion.

Bercakap bagi pihak BOD Kumpulan CIMB, Pengarah Bebas Kanan, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata kepemimpinan berwawasan Nazir, kepintaran perniagaan dan profesionalisme menjadikan CIMB institusi perbankan yang diiktiraf serta terkemuka, dan kejayaan berterusan Kumpulan adalah bukti legasinya.

“Kami semua bersedih kerana kehilangannya, bagaimanapun kami menghormati keputusannya,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, adalah sesuatu yang sangat istimewa dapat bekerja dengan Nazir, yang menjadi tiang menyokong, mentor yang hebat dan yang paling penting, rakan yang sangat dihargai.

“Apa CIMB hari ini – sebuah bank sejagat terkemuka Asean dengan asas yang kukuh – adalah bukti wawasannya.

“Beliau sentiasa memberi keutamaan dalam membentuk nilai untuk semua pihak berkepentingan dan kemampan perniagaan Kumpulan, menjadi falsafah yang turut dipegang pihak pengurusan,” tambahnya. - Bernama