NAZA Kia Malaysia Sdn Bhd (NKM), pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia, melancarkan sedan Sport Kia Stinger baru-baru ini.

Berdasarkan konsep Grand Turismo (GT), KIA Stinger menampilkan prestasi tinggi dan keselesaan yang maksimum.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, Datuk Samson Anand George berkata, untuk memenuhi permintaan pelanggan di Malaysia, kumpulan itu memperkenalkan dua varian Kia Stinger, 3.3-liter (L) V6 GT berharga RM309,888 (harga atas jalan dan tanpa insurans) dan 2.0-liter GT-Line dengan harga atas jalan sebanyak RM239,888.

“Kami percaya Kia Stinger akan meningkatkan identiti jenama dan menjadi penanda aras masa depan kenderaan Kia,” katanya pada majlis pelancaran tersebut di Petaling Jaya.

Nilai estetika Kia Stinger dapat pengiktirafan dunia dan telah menerima anugerah Eyes On Design for Production Car Design Excellence di North American International Auto Show (NAIAS) pada 2017.