PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 20 projek di bawah Program Transformasi Ekonomi serta tiga Koriodor Ekonomi dengan nilai pelaburan sebanyak RM26.09 bilion menjelang 2020.

Najib berkata projek berkenaan akan menyumbang RM10.07 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) dan mewujudkan 64,282 pekerjaan.

Semasa mengumumkan perkembangan terkini ETP yang terakhir bagi tahun ini, Najib berkata 11 projek utama di bawah ETP akan menyumbang RM1.129 bilion kepada PNK, RM6.68 bilion pelaburan dan mewujudkan 40,021 pekerjaan.

Sementara itu, sembilan projek di bawah Koridor Ekonomi akan menyumbang RM8.95 bilion kepada PNK, RM 19.41 bilion pelaburan dan mewujudkan 24,261 pekerjaan.

Najib berkata meskipun ketidaktentuan global yang berterusan, Malaysia kekal sebagai destinasi menarik untuk pelaburan dan pertumbuhan negar akekal kukuh. Dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Minyak, Gas dan Tenaga, Najib
berkata Seaport Worldwide Sdn Bhd akan melabur lebih RM1 bilion dalam membangunkan fasa satu projek Petrokimia dan Maritim Tanjung Bin.

Meliputi kawasan seluas 2,255 ekar, kawasan itu diwarta sebagai Zon Perdagangan Bebas dengan tempoh pajakan 99 tahun, kata beliau.

“Ia akan melengkapkan projek-projek lain di Johor, yang akan memacu wawasan Malaysia untuk menjadi hab perdagangan dan penyimpanan petroleum Asia Pasifik," kata beliau.

Dalam NKEA Greater Kuala Lumpur, Nusa Gapurna Development Sdn Bhd akan melabur RM5.23 bilion dalam projek besar untuk menjana dan mencergaskan semula bandar lama Petaling Jaya.

"Pembangunan bandar PJ Sentral Garden yang akan meliputi kawasan seluas kira-kira 40 ekar bersedia untuk menjadi kawasan perniagaan hijau yang baharu di Selangor, menyokong Kuala Lumpur dan hab perniagana lain di sekitar bandar raya dan negeri,” kata beliau.

Di bawah komunikasi, kandungan dan infrastruktur, GPSTech Solutions Sdn Bhd akan melabur RM16.2 juta melalui Sistem Pengangkutan Awam Malaysia (MyPUTRAS).

Ia merupakan portal pintar dalam talian dan aplikasi telefon pintar yang boleh didapati pada akhir tahun.

Dalam perkhidmatan perniagaan NKEA, CRF Computer Recovery Facility Sdn Bhd (CRF) akan melabur RM15.5 juta dalam pusat datanya seluas 60,000 kaki persegi.

Bagi penjagaan kesihatan pula, Amanjaya Specialist Centre Sdn Bhd akan melabur RM40.3 juta, Love On Wheels Healthcare Services Sdn Bhd (RM68.56 juta), Medical Innovation Ventures Sdn Bhd (RM8.92 juta), Vigilenz Medical Devices Sdn Bhd  (RM25.8 juta) dan Straits Orthopaedics (Mfg) Sdn Bhd (RM76.38 juta).

Najib berkata pelaburan berkenaan akan membantu memperkukuhkan reputasi Malaysia yang semakin berkembang sebagai pusat untuk pelancongan perubatan.

Dalam pelancongan pula, Jewel of Mabul Development Sdn Bhd, pemaju Alorie Lepa Lepa Resort, bakal melabur RM168.4 juta.- Bernama

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.