KILANG Proton Holdings Bhd di Tanjung  Malim, Perak, perlu diperluaskan dan dinaik taraf untuk melengkapi aspirasi Bandar Baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 minggu lepas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, kilang di Proton City perlu untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menarik lebih ramai orang, terutamanya golongan muda, untuk berhijrah ke sana.

Di bawah Bajet 2018 yang diumumkan pada Jumaat lepas, Najib berkata, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion untuk lima koridor utama, termasuk Wilayah Selatan Perak yang terdiri daripada Proton City, Educity dan Youth City di Tanjung Malim, antara lainnya.

Ka Chuan, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim, berkata, pelan Youth City akan diletakkan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan, berikutan kerajaan mencari lokasi yang strategik berhampiran Lembah Klang untuk membina projek rumah mampu milik di kawasan tersebut bagi golongan muda.

"Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, saya berkata kita perlu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Tanjung Malim supaya  rakyat berhijrah dan membeli rumah di sana. Jika tiada pekerjaan, tiada gunanya kita membina rumah di sana.

"Kita juga perlu menambah baik jaringan hubungan antara Tanjung Malim dan Lembah Klang, seperti kereta api atau lain-lain, yang akan menggalakkan rakyat yang bekerja di Lembah Klang membeli rumah di sini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Forum Ketua Pegawai Eksekutif Kecemerlangan Perniagaan 2017 di sini hari ini.

Ka Chuan berkata, Proton pada masa ini mempunyai dua kilang, di Shah Alam dan Tanjung Malim, dan pekerja di kilang Tanjung Malim kini seramai 1,400 orang.

"Kini, kita mempunyai pelan yang lebih besar (bagi Proton), dengan Proton mempunyai kerjasama dengan Geely, dan kita merancang untuk membina kilang yang dapat mengeluarkan kira-kira 400,000 kereta setahun dalam tempoh lima tahun akan datang, dan separuh daripada pengeluaran itu akan dieksport ke pasaran Asean," katanya.

Beliau berkata, Proton kini menghantar jurutera dan jurutekniknya ke China untuk  menjalani program penyelidikan dan pembangunan (R&D) Geely, dan Proton akan mendapat manfaat daripada kerjasama kedua-dua entiti tersebut.

Beliau berkata, program R&D itu akan membolehkan Proton meningkatkan teknologi dan kualiti kereta untuk memenuhi standard Asean, termasuk kenderaan elektrik dan hibrid, antara lainnya.

Bagi Educity, katanya, Universiti Pendidikan Sultan Idris akan diberi tanggungjawab untuk melatih guru, termasuk guru pendidikan khas, bagi pelajar yang memerlukan perhatian khusus. – Bernama