KITA sering beranggapan latihan psikologi sukan hanya sekadar berkursus atau mengadakan kem motivasi untuk meningkatkan keyakinan diri seseorang atlet.

Ada juga yang bertemu pakar psikologi sukan, duduk beberapa jam dan bersembang. Kemudian pulang dengan harapan, keyakinan melonjak 120 peratus.

Dalam situasi begini, bagaimana psikologi atlet itu dapat ditingkatkan. Adakah memadai dengan kata-kata motivasi?

Apakah indikator yang digunakan untuk mengatakan bahawa psikologi atlet terutama ketika menjelang hari perlawanan berada pada tahap terbaik?

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara, Negeri Sembilan, Dr Mazlan Ismail, tidak menafikan kebanyakkan atlet mahupun jurulatih dalam apa juga jenis sukan beranggapan bahawa latihan mental atau psikologi itu penting tetapi tidak tahu bagaimana untuk dilaksanakan.

Bahkan ketika sesi latihan sekali pun, atlet dan jurulatih hanya fokus pada latihan fizikal, teknikal dan taktikal, sedangkan komponen kejurulatihan itu juga merangkumi latihan psikologi.

Atas dasar inilah, Mazlan yang juga bekas atlet ragbi kebangsaan menjalankan penyelidikan dan pembangunan bagi membina satu sistem latihan psikologi secara praktikal yang dinamakan Practice In Mind (PIM).

Sistem ini dibina khusus untuk membantu ahli psikologi sukan dan jurulatih menilai dan memantau masalah psikologi atlet (emosi, kebimbangan dan kepercayaan diri) yang boleh memberi kesan kepada fizikal, kemampuan dan kemahiran atlet.

PIM gabungan imaginasi dan latihan fizikal

 PIM adalah satu sistem atas talian yang dibangunkan dengan menggabungkan elemen imaginasi dan program latihan secara fizikal dan praktikal di kawasan latihan yang sebenar.

Sistem ini perlu dilaksanakan secara individu berdasarkan tiga fasa utama iaitu pendidikan, perolehan dan pelaksanaan.

“Di mana atlet perlu melalui latihan secara imaginasi dan melengkapkan soalan kaji selidik sebelum menjalankan latihan fizikal.

“Sebagai contoh, dalam pasukan bola sepak, seorang pemain yang diberi tugas sebagai penyerang. Sebagai penyerang apa tugas yang perlu dilakukannya di atas padang?,” katanya.

Melalui sistem ini, tugas jurulatih adalah mewujudkan skrip imaginasi yang memfokuskan objektif dan tugas yang dikehendaki jurulatih terhadap pemain tersebut ketika di padang dan ketika waktu perlawanan.

“Sebagai contoh, ketika mengambil sepakan penalti, pemain perlu membayangkan setiap pergerakan dan rutin pemain tersebut sewaktu mengambil sepakan penalti  di minda. Kemudian barulah latihan sebenar dilakukan.

“Pada masa sama pemain juga perlu menjawab beberapa soalan. Hasil daripada kaji selidik ini, jurulatih boleh melihat sejauh mana keyakinan dan emosi pemain sebelum sepakan penalti diambil.

“Seterusnya keputusan kaji selidik akan diserahkan kepada ketua jurulatih dan akan diberi penerangan mengenainya untuk tindakan susulan,” katanya.

Sistem latihan PIM akan membantu pasukan pengurus mendapatkan informasi berkaitan persediaan psikologi atlet di samping memudahkan ahli psikologi sukan dan jurulatih memantau prestasi pemain

Peluang Pengkomersialan

PIM merupakan sistem yang pertama kali seumpamanya diperkenalkan dan dibina khusus untuk latihan psikologi secara praktikal.

Dengan proses penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan selama setahun pada 2016, sistem ini mula digunakan pada 2017.

Sistem yang dibina ini sekurang-sekurang dapat membantu menyelesaikan masalah prestasi atlet dan boleh diguna pakai untuk semua jenis sukan di Malaysia mahupun antarabangsa.

Mazlan yang juga merupakan pegawai psikologi sukan turut mengguna pakai sistem latihan PIM untuk pasukan bola sepak UiTM FC, golf dan pelbagai sukan lagi.

Dalam usaha memperkenalkan sistem ini, Mazlan turut mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi mempromosikan penggunaan sistem latihan PIM.

“Siri jelajah sudah pun dimulakan dengan zon utara yang telah dianjurkan di UiTM Pulau Pinang pada tahun lepas.

“Bagi tahun ini sesi penerangan latihan PIM akan dianjurkan di UiTM mengikut zon. Bermula April di zon utara iaitu UiTM Pulau Pinang. Diikuti zon pantai timur di UiTM Kelantan, zon selatan di UiTM  Johor, zon Borneo di UiTM Sabah dan terakhir zon tengah di UiTM Shah Alam,” katanya.

Seminar ini meliputi tiga peringkat iaitu penggunaan buku latihan PIM. Penggunaan sistem atas talian serta latihan pratikal antara atlet dan jurulatih.

“Sebagai bekas atlet kebangsaan yang mengamalkan sistem ini, saya amat menggalakkan  semua atlet dan jurulatih sukan di Malaysia dapat mengamalkannya serta fahami kepentingan latihan psikologi secara praktikal.

“Ini kerana ia boleh memberi kesan terhadap prestasi atlet dan pasukan secara keseluruhan. Pada masa membantu menaikkan mutu sukan negara,” katanya.