PASAR raya Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) bersedia menukarkan tanda harga barang apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar peratus, berkuat kuasa mulai 1 Jun depan.

Pengurus Besar Mydin Wilayah Utara, Azmin Saduruddin berkata, pihaknya yakin jualan akan meningkat kerana rakyat mempunyai lebihan wang dan berpeluang berbelanja apabila GST sifar peratus.

Beliau berkata, sejak GST diperkenalkan pada 2015, hasil jualan di Mydin turun secara mendadak.

"Saya percaya apabila GST pada kadar sifar peratus, kita akan mampu mencatat jualan lebih baik," katanya selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian bantuan kepada anak yatim Parlimen Parit Buntar.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa dan 31 anak yatim menerima hamper sebagai persiapan untuk musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Azmin berkata, Mydin juga memberi jaminan barangan keperluan di pasar raya besar itu mencukupi menjelang musim perayaan Aidilfitri nanti, dan harga yang ditawarkan di Mydin adalah berpatutan.

Sementara itu, Mujahid dalam ucapannya berkata usaha yang dilakukan Mydin pada hari ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada anak yatim.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan akan menunaikan semua janji dalam manifesto bagi memastikan hak dan kebajikan rakyat dipelihara. - Bernama