MYDIN Mohamed Holding Berhad (Mydin) dan Protect and Gamble (P&G) sekali lagi menjalin kerjasama, dan kali ini bagi mempromosikan produk terbaru jenama Dynamo, iaitu ‘Serbuk Dynamo’.

Lebih meriah, promosi turut disertai selebriti yang juga Duta Dynamo, Sarimah Ibrahim selain pelanggan setia Dynamo berpeluang bertemunya pada sesi interaktif serta bergambar di Mydin USJ, semalam.

Menurut Ketua Jabatan Pemasaran & Komunikasi Jenama Kumpulan Mydin, Sabariah Mohd, sesi interaktif bersama Sarimah merupakan tarikan kepada pelanggan dalam usaha mempromosikan produk terbaru keluaran Dynamo.

“Mydin merupakan gedung borong tumpuan keluarga untuk membeli belah. Selain memberikan one stop center, kita juga masukkan elemen keseronokan ketika berbelanja.

“Bagi memeriahkan kempen ini, P&G sekali lagi bekerjasama dengan Mydin,” katanya.

Pengurus Pemasaran Negara Penjagaan Fabrik P&G, Mary Rose Tores berkata, promosi memperkenalkan produk terbaru Dynamo itu berlangsung tiga hari sejak Jumaat lalu, bagi menghargai pelanggan setia.

“Road show ini khusus untuk Mydin, sejak tiga hari lalu. Majlis hari ini (semalam), khas untuk pelanggan Dynamo.

“Dynamo merupakan jenama dikenali isi rumah di negara ini sejak sekian lama. Produk terbaru, Serbuk Dynamo dilancarkan sebulan lalu,” katanya.

Dengan pembelian minimum RM30 produk Dynamo dalam satu resit di Mydin USJ, 20 pembeli pertama pada waktu promosi berpeluang menangi hadiah istimewa bernilai RM400, mengandungi pelbagai produk dalam sebuah beg beroda.

“Seramai 60 pemenang bertuah menerima hadiah istimewa di samping bergambar bersama Sarimah,” katanya lagi.

Bagi Sarimah pula, dilantik Duta Dynamo, produk yang cukup dikenali di Malaysia dan antarabangsa membuatkan dirinya begitu teruja.

“Alhamdulillah rezeki. Saya begitu berbesar hati dan teruja dapat menjadi ahli keluarga produk P&G,” katanya.