BIMB Holdings Berhad (BHB) melantik Mohd Muazzam Mohamed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baru bagi BHB dan anak syarikat milik penuhnya, Bank Islam Malaysia Berhad berkuat kuasa serta-merta.

BHB dalam kenyataan media berkata, Mohd Muazzam menyertai Bank pada 11 Mei 2015 sebagai Ketua Pegawai Kewangan sebelum dilantik memangku jawatan Ketua Pegawai Eksekutif berikutan peletakan jawatan Khairul Kamarudin 20 Julai 2018 yang lalu.

"Beliau mempunyai pengalaman selama 22 tahun dalam bidang audit, kewangan dan perundingan memainkan peranan utama dalam halatuju strategik Bank, pengurusan modal dan lembaran imbangan, kewangan korporat, kredit, peletakan pasaran, perancangan dan kawalan kewangan dan pentadbiran am.

"Beliau juga merupakan ahli dalam pelbagai jawatankuasa eksekutif di Bank Islam dan mempengerusikan beberapa jawatankuasa pemandu projek,” katanya.

Katanya, selain itu, Muazzam juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah di beberapa syarikat dalam Kumpulan BHB dan Bank Islam.

Muazzam merupakan seorang Akauntan Bertauliah, Akauntan Awam Bertauliah, Juruaudit Sistem Maklumat Bertauliah dan Akauntan Kewangan Awam Bertauliah,

Beliau juga pernah menjadi Rakan Kongsi KPMG dan Pengarah Eksekutif bagi Konsultansi Pengurusan KPMG dari tahun 1997 hingga 2015.