PENGELUAR barangan keperluan penjagaan rumah menghilangkan bau, Mr Escape Enterprise yang mengeluarkan produk berjenama Mr Escape menyasarkan jualan sebanyak 50,000 botol sebulan pada tahun ini didorong sambutan memberangsangkan dalam pasaran tempatan dan luar negara iaitu Singapura dan Thailand.

Pengasasnya, Ahmad Sodoqin Norahim berkata, produk tersebut yang dijual melalui atas talian sejak dipasarkan beberapa bulan lalu menerima sambutan luar biasa apabila sebanyak 20,000 botol berjaya dijual.

"Ini menambahkan keyakinan kami untuk capai sasaran tersebut. Malahan, kami juga akan mengadakan promosi secara agresif untuk mengukuhkan kedudukan kami dan bersaing dalam segmen barangan tersebut.

"Walaupun ia masih baru dalam pasaran, Mr Escape berjaya mencatatkan jualan tinggi dan testimoni yang diterima ialah pelanggan berpuas hati dengan kepelbagaian fungsi produk tersebut dan berkualiti serta bau berpanjangan," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Mr Escape, baru-baru ini.

Ahmad Sodiqin berkata, dengan harga berpatutan iaitu RM16.90 yang mempunyai berat 500 gram, Mr Escape boleh digunakan untuk menyahkan bau yang kurang menyenangkan di bahagian sofa, tilam, langsir, rak kasut dan almari.

"Ia merupakan formulasi anak tempatan yang juga pengasas bersama, Mohd Noor Faizal Che Embi yang menggunakan pati lavender. Mr Escape adalah produk yang dihasilkan di kilang sendiri di Puchong, Selangor itu memiliki kandungan antiseptik selain berinovatif dan selari dengan keperluan pengguna," katanya.