MAJLIS Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menyambut baik perkembangan terbaharu membabitkan tindakan Kesatuan Eropah (EU) menangguhkan cadangan pengharaman penuh penggunaan biobahan api sawit  kepada 2030 berbanding tarikh asal pada 2021.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Kalyana Sundram berkata, dialog tiga pihak atau trilog antara Parlimen EU, Majlis Eropah dan Suruhanjaya Eropah pada 14 Jun, 2018, telah mencapai persetujuan membatalkan teks akhir di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED) membabitkan pengharaman penuh biobahan api daripada sumber sawit pada 2021.

“Arahan pengharaman biobahan api sawit itu adalah sebahagian daripada matlamat besar EU untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030.

“Perbincangan trilog itu sememangnya diikuti rapat oleh negara-negara pengeluar minyak sawit termasuk Malaysia selepas undian Palimen EU yang mengharamkan penggunaan biobahan api sawit menjelang 2021.

[ARTIKEL BERKAITAN: Najib salahkan kerajaan, eksport minyak kelapa sawit jatuh]

“Debat mengenai minyak sawit sudah berlanjutan hampir 18 bulan lamanya dan keputusan terbaharu (untuk tidak mengharamkan biobahan api) sememangnya amat dialu-alukan dan tepat pada masanya,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini

Kalyana berkata, Malaysia serta pengeluar minyak sawit lainnya telah bersepakat membantah cadangan pengharaman itu.

Ini termasuk menerusi usaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta agensi-agensi di bawahnya seperti MPOC, Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC).

“Kami membantah kerana EU mengamalkan dasar diskriminasi terhadap minyak sawit manakala minyak dan sumber lelemak lain dibenarkan sebagai sumber biobahan api sehingga 2030.

“Bantahan keras lain yang turut dibangkitkan adalah kemungkinan tindakan EU ini bertentangan dengan ketetapan WTO selain mengekang prinsip asas perdagangan secara bebas,” katanya.

Menurutnya lagi, walaupun EU menyatakan penggunaan biobahan api minyak sawit akan ditamatkan menjelang 2030, MPOC serta pihak lainnya akan meneliti syarat tersebut untuk memastikannya mematuhi ketetapan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta seiring dengan perjanjian khas perdagangan lain seperti Perjanjian Perdagangan Bebas EU-Malaysia yang berkemungkinan dilaksanakan pada masa depan.

"Kami menyasarkan untuk mempertingkatkan penglibatan dengan pengguna akhir minyak sawit di Eropah agar mereka lebih memahami cabaran dan keperluan khusus selain merangka program kerjasama lebih menarik bagi memastikan mereka terus setia dengan minyak sawit,” katanya.

Malah, katanya, MPOC juga akan lebih agresif membangunkan pasaran alternatif untuk pasaran minyak sawit menjelang tempoh 2030.

Kalyana juga yakin minyak sawit Malaysia akan terus kekal kompetitif dan menjadi komoditi pilihan pada masa-masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata MPOC berpendapat, harga purata tahunan minyak sawit mentah (MSM) akan berlegar sekitar RM2,400 sehingga RM2,500 satu tan.

Beliau turut menyifatkan angka eksport MSM yang lebih rendah baru-baru ini sebagai sementara berikutan prestasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat yang mana harga komoditi itu lebih didenominasi oleh dolar. - Bernama

 

 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: http://www.sinarharian.com.my/nasional/najib-salahkan-kerajaan-eksport-minyak-kelapa-sawit-jatuh-1.846592