MANAGEPAY Systems Berhad (Kumpulan MPay) menjalin kerjasama dengan Kelab Sahabat Persaudaraan (KSP) dalam usahanya untuk mengembangkan ekonomi digital menerusi Program Kad Prabayar Negaraku Mpay Mastercard.

Menerusi kerjasama itu, Kumpulan MPay telah memperkenalkan Wallet MPay dan Kad prabayar Negaraku MPay Mastercard dengan tema NegaraKu.

Pengasas KSP, Dr Mohd Zamri Noordin berkata, kerjasama dan pelantikan secara eksklusif ini merancakkan lagi program serta konsisten untuk menghubungkan kerajaan, rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) dan koperasi dalam era digital.

"Visi kami adalah untuk memanfaatkan teknologi baharu dalam mendidik dan menyatupadukan seluruh rakyat termasuk NGO dan koperasi.

"Kerjasama ini juga seiring dengan visi kelab kami dalam mengetengahkan idea dan kepakaran golongan profesional bagi membentuk program kemasyarakatan yang berkualiti untuk dikongsi bersama," katanya.

Menurutnya, program tersebut menyasarkan 200,000 ahli yang akan menikmati pelbagai kemudahan tersedia, termasuk menderma dan berkongsi berita, yang melambangkan perpaduan rakyat Malaysia dalam era digital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MPay, Datuk Chew Chee Seng berkata, program MPay Negaraku akan memasuki era tanpa tunai dengan kebolehan menghantar dan menerima dana (wang), membayar bil dan tambah nilai kad prabayar telefon bimbit, membeli-belah secara dalam talian dan terus, menikmati kupon, diskaun dan had hadiah.