SEJAK ditubuhkan pada 1971, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), berperanan memacu koperasi negara dengan menyediakan pelbagai kemudahan perkhidmatan bagi membantu perjalanan dan pentadbiran koperasi baik di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Dengan keahlian sehingga 8 juta, Angkasa bukan sahaja menyatukan semua koperasi dalam Malaysia, malah memperjuang, mengawasi serta menjaga kepentingan dan pembangunan koperasi.

Di sebalik perjuangan Angkasa, nama Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, turut menjadi sebutan kerana berjaya meletakan Angkasa di tahap yang membanggakan.

Mula berkhidmat sejak tahun 2013, Abdul Fattah, mengakui tugas yang digalas bukanlah mudah kerana beliau perlu melakukan pelbagai strategi bagi memperkasakan Angkasa menerusi gerakan koperasi di negara ini.

Abdul Fattah berkata, strategi utama yang dilakukan adalah dengan membuat pembaharuan polisi supaya kebergantungan Angkasa kepada perniagaan teras iaitu pengurusan pemotongan gaji dapat dikurangkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mewakili negara merasmikan Persidangan Global dan Mesyuarat Agung Persekutuan Koperasi Antarabangsa 2017.

Apabila perkara itu berlaku, Angkasa perlu melihat sumber lain untuk mencari sumber pendapatan baharu. Justeru, Angkasa mula mengorak langkah menjana pendapatan dengan mempelbagaikan cabang perniagaan.

“Perkara pertama yang dilakukan adalah dengan memperkasakan lagi perniagaan Angkasa kerana sumber pendapatan kami kini adalah berdasarkan perolehan yang dilakukan.

“Selain itu, kami melihat peranan Angkasa perlu pergi lebih jauh dengan menjadi badan induk koperasi di peringkat tempatan dan antarabangsa. Alhamdulillah setakat ini, usaha itu menampakkan hasil positif dan Angkasa berjaya menguruskan perolehan dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Ibu Pejabat Angkasa di Wisma Ungku A Aziz, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pun begitu, Abdul Fattah berkata, Angkasa bukan sahaja mahu melihat gerakan koperasinya menghasilkan keuntungan yang lumayan, tetapi lebih penting untuk kekal stabil.

“Justeru, kami di Angkasa berperanan untuk memastikan perbelanjaan dan perancangan kewangan setiap gerakan koperasi tidak lari di samping mahu menjaga kepentingan koperasi.

“Dan keuntungan yang diperoleh Angkasa, akan dipulangkan kembali kepada gerakan koperasi melalui penganjuran beberapa program bagi membangunkan gerakan tersebut,” katanya.

Tubuh lima anak syarikat

Usaha menerokai pelbagai cabang perniagaan, nyata memberikan impak yang besar terhadap perjalanan Angkasa. Malah akui Abdul Fattah, beliau sendiri menyaksikan perkembangan tersebut melalui potensi gerakan koperasi di Malaysia yang semakin memberangsangkan dengan penerimaan masyarakat.

“Buktinya semakin banyak koperasi baharu berjaya ditubuhkan, menjadikan gerakan koperasi yang ditubuhkan di bawah Angkasa sehingga kini, menjangkau lebih 14,000 gerakan.

“Keyakinan itu semakin kukuh dengan keputusan Angkasa untuk menceburi bidang perniagaan berimpak tinggi yang memerlukan kepakaran serta teknologi canggih,” katanya.

Untuk memperkasakan gerakan koperasi, Angkasa menganjurkan pelbagai program demi kebaikan mereka.

Abdul Fattah berkata, Angkasa telah berjaya menubuhkan lima anak syarikat yang melibatkan lapan sektor utama dalam peneraju ekonomi. Antaranya hartanah dan industri binaan, perladangan, pertanian dan industri asas tani, kewangan, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan, inovasi serta teknologi dan telekomunikasi.

"Sasaran kami mahu menubuhkan lapan anak syarikat dan terkini lima sudah berjaya ditubuhkan, Insya-ALLAH tiga lagi akan dapat ditubuhkan tidak lama lagi," katanya.

Optimis memperkasakan peranan dan fungsi Angkasa, Abdul Fattah berkata, perkembangan tersebut juga,adalah petanda baik di atas usaha Angkasa selama ini yang mahukan gerakan koperasi bergiat dalam perniagaan dan dapat pergi lebih jauh.

Cabaran mematangkan Angkasa

Lebih 46 tahun penubuhan Angkasa di bawah pucuk pimpinan tiga presiden, Angkasa turut tidak lari daripada menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan sebagai badan apeks pemangkin pembangunan gerakan koperasi di Malaysia.

Namun setiap cabaran itu menjadikan Angkasa lebih matang untuk berada di kedudukannya kini. Bagi Abdul Fattah, beliau tetap komited untuk terus memperkasakan Angkasa ke peringkat lebih tinggi.

Sejak dilantik menerajui Angkasa sehingga kini, beliau turut tidak terkecuali berdepan cabaran besar dan isu sekatan bayaran potongan gaji penjawat awam sehingga maksimum 60 peratus daripada jumlah potongan gaji kasar adalah antara cabaran yang perlu dihadapi olehnya menerusi badan induk tersebut.

Tegasnya, cabaran yang dihadapi itu memberikan kekuatan untuknya terus berusaha dengan menghasilkan pelbagai gerak kerja bagi meneruskan misi Angkasa dalam melestarikan Gerakan Koperasi Negara.

“Buktinya, Angkasa kini boleh dianggap sebagai badan induk yang berjaya berdasarkan jumlah gerakan koperasi yang dinaunginya sebanyak 14,000 gerakan koperasi di seluruh Malaysia Disember 2017.

“Jumlah itu membabitkan koperasi perbankan dan kredit; pertanian; pengguna; tanah; institusi pengajian tinggi; perikanan; pengangkutan; insurans; perumahan; perusahaan; pendidikan (sekolah) wanita dan pekerja kilang," katanya.

Selain itu, jelasnya, berdasarkan statistik koperasi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga 31 Disember 2016, menunjukkan jualan saham atau yuran yang berjaya dikumpulkan adalah sebanyak RM14 bilion.

“Aset koperasi pula berjaya mencapai jumlah RM131 bilion dan jumlah perolehan sehingga kini sebanyak RM39 bilion. Pada masa ini, perolehan Angkasa dalam setahun berjaya mencapai RM120 juta,” katanya.

Perangkaan besar itu, membolehkan perniagaan yang dijalankan oleh koperasi berkembang maju dan paling utama, perjalanan perniagaan koperasi masih mampu terus meningkat.

Bantu pasar produk ke luar negara

Selain menepati matlamat untuk meluaskan peranan Angkasa yang bukan sahaja untuk menjadi badan induk koperasi di dalam negara, Angkasa juga telah mula berperanan memperkasakan gerakan koperasi di luar negara.

Antara peranan yang dimainkan ialah membantu dan mempromosi koperasi untuk memasarkan produk mereka ke luar negara.

Abdul Fattah berkata, melalui hubungan baik yang terjalin antara Angkasa dengan koperasi di seluruh dunia, badan induk itu yakin usaha tersebut dapat dijayakan dengan baik dan berkesan.

Pada masa yang sama, matlamat yang dilakukan itu, seiring dengan sasaran beliau untuk dicapai selepas tahun 2020, di mana beliau mahu melihat peranan Angkasa di peringkat antarabangsa lebih menyerlah.

Pelbagai produk koperasi telah berjaya menembusi pasaran antabangsa.

“Sekarang saya selaku Presiden Angkasa dipilih sebagai Presiden Koperasi se-Asean (ACO) dan ia merupakan satu pengiktirafan kepada Angkasa dan kepimpinan negara.

“Kalau boleh sebelum 2050, ada satu ketika Presiden Angkasa akan menjadi Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) dan Pengerusi Koperasi Asia Pasifik. Itu sasaran kami,” katanya.

Tambahnya, Angkasa juga mahu menjadikan 2018 sebagai tahun digital koperasi bagi menggalakkan penglibatan koperasi-koperasi di bawah naungannya dalam perdagangan elektronik (e-dagang).

“Jika koperasi tidak mengambil bahagian atau tidak mengambil kira perkembangan semasa tentang e-dagang, maka koperasi akan ketinggalan.

“Kita ada hampir 14,000 koperasi di seluruh negara yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Koperasi, namun peratusan yang memiliki laman web sendiri masih terlalu kecil. Kita mahu semua koperasi ada laman web mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata, e-dagang juga dapat menjadi platform kepada koperasi-koperasi untuk meningkatkan lagi perolehan mereka menerusi perluasan pasaran produk-produk yang tidak akan terhad hanya di dalam negara.

“Pada tahun lepas, perolehan koperasi adalah hampir RM40 bilion. Kalau koperasi dapat menggunakan e-dagang sebagai platform perniagaan mereka, saya percaya jumlah perolehan ini dapat dipertingkatkan lagi pada masa-masa yang akan datang,” katanya.

Justeru, usaha yang sedang dan akan dilakukan Angkasa, bertepatan untuk memastikan koperasi dapat memasarkan produk masing-masing, meluaskan lagi pasaran mereka ke seluruh dunia dan membantu kerajaan dengan menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara,” katanya.

Info

-Angkasa didaftarkan pada 12 Mei 1971.

-Angkasa diangkat sebagai sebuah koperasi yang mewakili gerakan koperasi seluruh Malaysia dan perisytiharan pengiktirafan ini telah diwartakan pada 23 Mei 1996.

-Menaungi 14,000 gerakan koperasi di seluruh Malaysia dengan keahlian lebih lapan juta sehingga Disember 2017.

-Terdapat 500 buah koperasi kariah masjid sehingga kini.

- Sasaran Angkasa kesemua 6,300 buah masjid di seluruh negara menubuhkan gerakan koperasi.

-Di peringkat sekolah pula, setakat ini memiliki 2,384 buah koperasi.

Pencapaian

- Menyelesaikan isu sekatan bayaran potongan gaji penjawat awam sehingga maksimum 60 peratus daripada jumlah potongan gaji kasar.

- Presiden Angkasa, Abdul Fattah dipilih sebagai Presiden Koperasi se-Asean (ACO)

- Dua koperasi dari Malaysia tersenarai dalam 300 koperasi terbaik dunia iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF)

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd bagi membolehkan koperasi tersebut menyertai Projek Pembangunan Gerbang Internet Antarabangsa Enhanced Malaysia (EM-IIG).
  • ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menerusi anak syarikatnya, MyAngkasa Farmasi Sdn Bhd menjalinkan kerjasama strategik bersama Kumpulan HR, syarikat pengeluar dan pengeksport produk kesihatan.
  • ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mencadangkan koperasi sekolah diberi kuasa melantik operator yang difikirkan layak untuk menguruskan kantin sekolah.
  • ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengatur strategi dan pelbagai aktiviti pada tahun ini untuk menjayakan peranannya dalam lapan sektor utama untuk mencapai perolehan RM50 juta.