Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed akan mengetuai delegasi seramai 40 ahli untuk dua misi dagangan dan pelaburan ke Thailand dan Myanmar, bermula Rabu ini.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, Misi yang bertujuan mengukuhkan kerjasama perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi dengan kedua-dua negara ini, akan diadakan di Bangkok pada 22 dan 23 Februari dan Myanmar pada 23 dan 24 Februari.

“Misi ini juga akan berusaha me­ngenal pasti peluang kerjasama perniagaan dalam sektor seperti industri pembinaan, pembangunan infrastruktur, pelancongan, pertanian dan penjagaan kesihatan dan minyak dan gas,” katanya.

Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand adalah RM70.2 bilion pada 2011, dengan eks­port Malaysia berjumlah RM35.7 bilion dan import RM24.5 bilion.

Untuk tempoh 1980-2011, 133 projek melibatkan penyertaan ekuiti Thailand telah diluluskan dengan jumlah nilai pelaburan RM1.459 bilion dan hanya 78 projek dilaksanakan.

Sementara itu, jumlah pergerakan barangan dan perkhidmatan antara Malaysia dan Myanmar bernilai RM2.425 bilion, dengan eksport Malaysia RM1.71 bilion dan import Malaysia dari Myanmar bernilai RM715.3 juta.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.