MILO memberi pengiktirafan dan meraikan kejayaan kepada lapan atlet negara yang mengharumkan negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur dan Sukan Para ASEAN , Ogos lalu.

Mereka terdiri daripada pemain hoki kebangsaan, Joel Van Huizen, ratu pecut para, Felicia Mikat, Ng Eain Yow (skuasy), Syakilla Salni Jefry Krisnan (karate), Nur Izzati Yaakob (bola keranjang), Welson Sim (renang), Nur Dhabitah Sabri (terjun) dan Abdul Latif Romly (olahraga).

Pegawai Eksekutif Perniagaan, Unit Perniagaan MILO, Nestle Malaysia, Philomena Tan berharap kejayaan atlet berkenaan dapat menjadi contoh dan inspirasi terbaik kepada semua supaya dapat terus mengejar impian masing-masing.

“Sejak lebih enam dekad lalu, MILO merintis kecemerlangan dan berkembang dalam arena sukan di negara ini.

“Kami bangga dapat menjadi sebahagian daripada pencapaian generasi baharu atlet Malaysia yang mewakil negara di persada dunia," katanya.

Mengulas lanjut, Philomena berkata, bagi MILO, sukan memainkan peranan sebagai pendidik untuk membentuk karakter dan menerapkan nilai murni dalam kehidupan demi masa depan yang lebih baik.

Katanya, MILO akan terus komited dalam usaha membina generasi muda Malaysia menerusi pelbagai inisiatif dengan matlamat untuk membentuk mereka menjadi tunggak harapan bangsa dan negara.

"Kami berharap  mereka akan terus berusaha untuk mengecapi kecemerlangan berterusan," katanya.

Sementara itu, pemain skuasy negara, Ng Eain Yow berkata, nilai-nilai murni yang diperoleh sukan telah membantu mematangkan dirinya dalam menghadapi cabaran kehidupan harian.

"Nilai-nilai ini bukan shaaja mendorong saya menjadi atlet yang lebih baik tapi juga memberi perubahan positif dalam pelbagai aspek kehidupan," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.