PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menjangkakan jualan yang dijana pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2017 (MIHAS 2017) akan melepasi RM1.14 bilion yang dicatatkan pada tahun lalu, didorong trend jualan positif walaupun keadaan pasaran semasa mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohd Shahreen Madros Zainooreen berkata, industri halal mendapat sokongan yang kuat sejak beberapa tahun lalu dan sebahagian besar pertumbuhan dipacu permintaan tinggi bukan sahaja daripada Muslim tetapi juga bukan Muslim.

“Tahun ke tahun, kami menjangkakan antara empat dan lapan peratus pertumbuhan dalam eksport halal. Tahun lepas, kami berjaya mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus.

“Kami percaya komponen halal sangat penting dan mempunyai kelebihan daya saing di peringkat global,” katanya pada sidang media mengenai logo baharu MIHAS 2017, semalam.

Mohd Shahreen berkata, MIHAS 2017 dijangka disertai 550 pempamer melibatkan 30 negara dan bakal dihadiri 25,000 pengunjung berbanding 543 syarikat dari 29 negara dan disertai 22,000 pengunjung pada tahun lalu.

MIHAS 2017 akan diadakan  di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur  pada 5 sehingga 8 April nanti.

Mengulas mengenai logo baharu itu, Mohd Shahreen berkata, ia mencerminkan perkembangan MIHAS ini selaras dengan masa dan pasaran dinamik.

Beliau berkata, pelancaran logo MIHAS 2017 sebagai simbolik sumbangan pameran berkenaan kepada pertumbuhan industri halal dunia sejak dilaksanakan 14 tahun lalu.

“MIHAS perlu melalui proses penjenamaan semula bagi meningkatkan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemain industri dari dalam dan luar negara, serta orang ramai,” katanya.

Logo tersebut merupakan inspirasi Kufi Arab mempersembahkan MIHAS yang progresif dan unik. Kombinasi warnanya adalah oren, biru dan putih, yang merupakan kekuatan, optimis dan keterbukaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.