MAJLIS Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berpendapat bahawa kini masa yang sesuai untuk mewujudkan jenama minyak sawit Malaysia yang kukuh.     
    
Pengerusinya, Datuk Lee Yeow Chor berkata, langkah ini perlu berdasarkan kepada banyak kriteria dan mematuhi standard antarabangsa serta amalan yang baik.
    
"Kami menganggap Persidangan Antarabangsa Kelestarian Minyak Sawit (IPOSC) 2014 ini sebagai sebahagian daripada aspirasi tersebut, dan kami mengharapkan maklumat baharu, serta idea baharu akan dijana daripada persidangan ini," katanya ketika merasmikan acara selama dua hari itu di sini hari ini.
    
Yeow Chor berharap industri minyak sawit Malaysia akan menggunakan idea baharu untuk meningkatkan banyak aspek kelestarian dalam menghasilkan minyak sawit dan mewujudkan penjenamaan minyak sawit Malaysia.
    
"Sehubungan itu, saya meminta anda untuk memberikan pandangan dalam tempoh dua hari ini.
    
"IPOSC merupakan platform yang tepat untuk menampilkan usaha sedemikian, serta berkongsi cabaran baharu yang kita hadapi dengan pihak-pihak berkepentingan," kata Yeow Chor.
    
Beliau berkata industri juga yakin dalam menerajui komitmen ke arah pengeluaran minyak sawit yang lestari, penjagaan persekitaran dan memacu peningkatan sosio-ekonomi komuniti pada masa sama.
    
Kira-kira 200 peserta tempatan dan antarabangsa dari Perancis, Bangladesh dan Indonesia menghadiri persidangan itu yang akan mempamerkan teknologi dan perkembangan terbaharu berkaitan pembangunan kelestarian industri minyak sawit.

Persidangan itu akan menumpukan kepada isu-isu semasa termasuk pemuliharaan hidupan liar, penebangan hutan, perubahan penggunaan tanah tidak langsung, potensi biomass serta dasar kelestarian antarabangsa dan pensijilan. - Bernama