KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines (MAS) menawarkan promosi perjalanan kelas perniagaan yang menarik bagi penerbangan domestik dan antarabangsa berkuat kuasa hari ini hingga 27 Feb.

Tawaran untuk sektor domestik dan ke destinasi Asean adalah sah untuk perjalanan segera sehingga 31 Ogos, manakala perjalanan bagi AS, Asia Utara, Eropah, Asia Selatan, China/Hong Kong dan Australia, sah sehingga 30 Jun.
 
Untuk kemudahan pelanggan, tambang yang ditawarkan termasuk tambang, surcaj bahan api dan cukai lapangan terbang, kata Naib Presiden Kanan MAS bagi Malaysia dan Asean Muzammil Mohamad.
 
"Di Malaysia Airlines, kami sentiasa menaik taraf produk dan perkhidmatan kami untuk pelanggan menikmati lebih banyak tawaran bernilai.
 
"Tawaran berkenaan dapat dilaksanakan berikutan penyertaan pesawat baru yang efisen bahan api ke dalam kumpulan pesawat kami. Pesawat ini juga menambah baik kemudahan dalam penerbangan yang turut membolehkan kami meningkatkan tawaran perkhidmatan kami kepada pelanggan.”
 
"Tambahan pula, kami telah menyusun semula strategi untuk meningkatkan kekerapan kami bagi laluan serantau serta memenuhi jangkaan pelanggan yang memilih perkhidmatan penuh premium dan penyambungan terus untuk perjalanan mereka pada tawaran dengan nilai. 
 
"Kami mempelawa pelanggan menikmati tawaran hebat ini yang termasuk semua  dan dengan hospitaliti Malaysia yang telah meraih anugerah semasa perjalanan mereka," katanya.
 
Promosi bagi perjalanan domestik adalah tambang termasuk semua bagi perjalanan antara KLIA dan mana-mana bandar di Semenanjung Malaysia.    

Ia bermula pada RM399 sehala dan RM798 untuk pergi balik, dengan tambang dari KLIA ke mana-mana bandar di Sabah dan Sarawak bermula dari RM799 sehala dan RM1,598 pergi balik.
 
Bagi perjalanan dari KLIA ke mana-mana bandar raya Asean, tambang sehala termasuk semua ini bermula dari RM399 sehala ke Medan, RM599 ke Phuket dan RM899 bagi destinasi Asean yang lain.
 
Kadar tambang termasuk semua ke China bermula dari RM1,356 sehala ke Guangzhou, Xiamen dan Kunming, manakala kadar yang sama ke bandar raya Asia Selatan bermula dari RM1,164 ke Hyderabad, RM1,179 ke Dhaka, RM1,189 ke Bangalore, RM1,211 ke Colombo dan RM1,222 ke Chennai.

Mereka yang merancang untuk mengembara bagi perjalanan premium ke Australia, Amerika Syarikat dan Eropah sehingga 30 Jun, boleh merebut peluang ini yang bermula dari RM2,894 sehala ke Perth, RM3,456 ke Sydney, RM4,972 ke Los Angeles, RM5,123 ke London dan RM5,358 ke Paris.
 
Kanak-kanak, berumur dari dua hingga 12 tahun boleh menikmati 35 peratus diskaun bagi tambang kelas perniagaan domestik dan 25 peratus bagi tambang perjalanan kelas busines antarabangsa.
 
Tawaran berkenaan boleh didapati melalui pelbagai saluran pengedaran MAS seperti pejabat tiketnya di seluruh Malaysia, pusat panggilan bebas tol 24 jam di 1300 88 3000, www.malaysiaairlines.com  dan ejen yang dilantik. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.