Malaysia Airlines (MAS) menawarkan promosi perjalanan kelas perniagaan menarik bagi penerbangan domestik dan antarabangsa berkuat kua­sa hari ini hingga 27 Februari.

Tawaran untuk sektor domestik dan ke destinasi Asean adalah sah untuk perjalanan segera sehingga 31 Ogos, manakala perjalanan bagi AS, Asia Utara, Eropah, Asia Selatan, China/Hong Kong dan Australia, sah sehingga 30 Jun.

Naib Presiden Kanan MAS bagi Malaysia dan Asean, Muzammil Mohamad berkata, untuk kemudahan pelanggan, tambang ditawarkan termasuk tambang, surcaj bahan api dan cukai lapangan terbang.

“Di Malaysia Airlines, kami sentiasa menaik taraf produk dan perkhidmatan untuk pelanggan menikmati lebih banyak tawaran bernilai,” katanya.

Beliau berkata, MAS juga sedang menyusun semula strategi meningkatkan kekerapan laluan serantau serta memenuhi jangkaan pelanggan.

“Kami mempelawa pelanggan menikmati tawaran hebat ini yang termasuk semua dan dengan hospitaliti Malaysia yang telah meraih anugerah semasa perjalanan mereka,” katanya.

Promosi bagi perjalanan domestik adalah tambang termasuk semua bagi perjalanan antara KLIA dan mana-mana bandar di Semenanjung Malaysia.

Ia bermula RM399 sehala dan RM798 untuk pergi balik, dengan tambang dari Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan ke mana-mana bandar di Sabah dan Sarawak bermula RM799 sehala dan RM1,598 pergi balik.

Tawaran berkenaan boleh didapati melalui pelbagai saluran pengedaran MAS seperti pejabat tiketnya di seluruh Malaysia, pusat panggilan bebas tol 24 jam di 1300 88 3000, www.malaysiaairlines.com dan ejen yang dilantik.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.